Mark Adam popular dengan lagu ‘Marry Me’. Foto Facebook Mark Adam
AGENDANASIONAL

Mark Adam sebak kenang keadaan menimpa Siti Sarah

SHAH ALAM, 8 OGOS: Penyanyi dan pelakon, Mark Adam sebak mengenang nasib menimpa rakannya, Siti Sarah Raisuddin yang masih ditidurkan berikutan masalah tahap oksigen rendah.

Menerusi program bual bicara secara langsung di Facebook Media Selangor semalam, penyanyi kelahiran Filipina itu menangis mengingati keadaan Siti Sarah yang sedang dirawat di unit rawatan rapi di HUKM sejak Jumaat akibat Covid-19.

Mark dalam perkongsian program bertajuk Semangat Juang Hijrah itu berkata pandemik Covid-19 merupakan dugaan yang diberikan supaya kita mendekatkan diri dengan pencipta.

“Disebalik semua yang berlaku ini, sebenarnya kita boleh tengok pelajaran yang diberikan. Sebelum ini kita tiada masa nak solat, sekarang ini kita sudah duduk rumah dan boleh mendekati lagi kepada pencipta kita.

“Kita kena tengok pelajaran yang diberikan di dalam dugaan itu diberikan satu benda yang kita kena fikir. Silaturrahim sebelum ini pun kita tidak tengok, tetapi sekarang kita baru sedar betapa pentingnya…,” katanya.

Mark yang popular dengan lagu ‘Marry Me’ mula rapat dengan Shuib Sepahtu yang merupakan suami Siti Sarah sejak digandingkan di dalam program Juara Parodi pada 2015.

Minggu lalu, Siti Sarah dan suami serta tiga anaknya positif Covid-19 selepas pembantu rumahnya disahkan positif pada 25 Julai lalu.

Bagaimanapun Siti Sarah yang sedang sarat mengandung tujuh bulan dikejarkan ke hospital berikutan tahap oksigen menurun dan menjalani pembedahan untuk mengeluarkan bayinya sekitar jam 2 petang Jumaat.

 


Pengarang :