Operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir pada hari kelima diteruskan dengan menggunakan eskavator di dua lokasi iaitu di Titi Hayun dan Batu Hampar, Yan pada 22 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mayat korban kelima banjir di Yan dijumpai

YAN, 22 OGOS: Mangsa kelima yang maut dalam kejadian banjir ekoran fenomena kepala air di kawasan Gunung Jerai ditemukan di satu kawasan berhampiran Titi Hayun, di sini pada pukul 3.23 petang tadi.

Pasukan mencari dan menyelamat menjumpai mayat Ku Shuib Ku Abdullah, 91, di bawah timbunan kayu berhampiran Chalet Putri Ayu kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang dalam kejadian pada petang Rabu lepas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah Sayani Saidon berkata pasukan menyelamat menggunakan jentera berat untuk mengalihkan timbunan kayu dan berjaya mengeluarkan mangsa lima minit kemudian.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Yan dan kita berasa bersyukur dan berterima kasih kepada kepada semua pasukan anggota penyelamat yang telah berjaya dalam usaha pencarian mangsa kelima ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata mayat bekas imam itu yang sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan rekreasi Chalet Salak Denai, Batu Hampar dijumpai dalam keadaan baik dengan sedikit calar dengan jasadnya mengiring dan mengadap kiblat.

Dalam pada itu, beliau berkata operasi seterusnya akan menumpukan bagi mengesan seorang lagi mangsa yang masih hilang iaitu di kawasan mayat mangsa kedua dan ketiga ditemukan di kawasan Titi Hayun sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata berdasarkan penemuan mayat mangsa kelima hari ini operasi mencari pada esok dijangka akan melibatkan banyak kerja-kerja penggalian dan mengalihkan timbunan kayu.

“Kita telah menandakan kawasan yang dikenal pasti untuk kita cari, harap esok ada petunjuk baharu,” katanya.

Beliau berkata susulan penemuan mayat kelima itu juga operasi mencari dan menyelamat di kawasan Batu Hampar akan dipindahkan ke Titi Hayun untuk menggiatkan lagi pencarian mangsa terakhir dilaporkan hilang.

Mangsa terakhir yang dilaporkan masih hilang dikenali sebagai Ridwan Poninan, 61.

Setakat ini, lima mangsa disahkan menjadi korban kejadian banjir ekoran fenomena kepala air dari Gunung Jerai yang berlaku pada petang Rabu lalu yang turut menjejaskan penempatan di kawasan sekitar gunung itu.

– BERNAMA


Pengarang :