Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau ke lokasi Pusat Pemberian Vaksin ketika Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Bukit Melawati di Dewan MDKS, Bandar Baru, Kuala Selangor pada 1 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB: 97 peratus penduduk Kuala Selangor terima vaksin

KUALA SELANGOR, 1 OGOS: Sebanyak 97 peratus penduduk Kuala Selangor telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Dato’ Menteri Besar berkata data berkenaan diperoleh daripada Program Imuniasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di mana jumlah yang mendaftar adalah seramai 223,000 orang.

“Jadi hampir 180,000 penduduk Kuala Selangor telah menerima vaksin, ini menujukkan komitmen telah dibuat namun kita tetap teruskan untuk komuniti yang tidak berpeluang,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati di Dewan Bandar Baru di sini hari ini.

Amirudin berkata kadar vaksinasi yang tinggi menyebabkan jumlah kehadiran pada hari ini sedikit perlahan dan dijangkakan 200 penduduk hadir untuk menerima vaksin.

Katanya, oleh kerana Selvax Komuniti DUN Bukit Melawati berlangsung selama dua hari sehingga esok pihaknya akan melaksanakan pemberian vaksin secara terus bagi memastikan lebih ramai yang hadir.

“Maknanya tidak akan ada pra pendaftaran, kalau ada bagus tetapi jika ada yang nak ‘walk in’ pun boleh memandangkan kita sedang mempercepatkan proses vaksinasi,” katanya.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan serta mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.


Pengarang :