AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Isu Covid-19 tumpuan utama sidang Dewan Negeri Selangor

SHAH ALAM, 22 OGOS: Isu pandemik Covid-19 menjadi tumpuan utama perbahasan Dewan Negeri Selangor (DNS) yang bermula esok sehingga 6 September di Bangunan Annex di sini.

Menurut Dato’ Menteri Besar pelan Kerajaan Negeri bagi menangani Covid-19 akan dibahaskan selepas membahaskan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“…disamping membahaskan beberapa pelan dan perancangan Kerajaan Negeri khususnya dalam menangani Covid-19 serta bagaimana memastikan daya tahan ekonomi dan keupayaan Negeri Selangor sebagai tiang seri pembangunan dan kemajuan negara dapat kita pertahankan.

“Justeru kepada seluruh Ahli Dewan Negeri, saya berharap kita bersedia sama ada menghantar soalan-soalan kepada Kerajaan Negeri dan juga menyediakan fikiran serta perancangan kita untuk berbahas dan berbahaslah dengan cara yang baik dan berhemah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi video di Facebook.

Pada 9 Julai, Dato’ Menteri Besar berkata persidangan itu mengikut format biasa meliputi soal jawab dan perbahasan, bukan sekadar sidang khas.

Beliau menegaskan sidang dewan dibuat dengan pematuhan ketat tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Semua individu termasuk pengamal media disyaratkan lengkap dua dos vaksin, malah saringan menggunakan kit saliva dibuat setiap hari sebelum persidangan bermula.

Siaran langsung perbahasan wakil rakyat boleh diikuti menerusi https://selangortv.my/ dan https://www.facebook.com/MediaSelangor.

Laporan ucapan dan perbahasan pula boleh diikuti melalui portal selangorkini.my.


Pengarang :