Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada warga asing yang hadir tanpa janji temu dalam program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Sementa di Hotel De Palma Shah Alam pada 11 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Lebih 40 peratus penduduk Selangor lengkap dua dos vaksin

SHAH ALAM, 12 OGOS: Seramai 2.09 juta atau 44.4 peratus daripada penduduk yang memohon vaksin lengkap menerima dua dos pelalian Covid-19 setakat pagi ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan 5.76 juta dos diberi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan 3.66 juta atau 77.17 peratus menerima dos pertama.

“Manakala bagi program Vaksin Selangor (Selvax) sebanyak 270,696 dos vaksin diberikan dan 70,138 lengkap menerima dua dos suntikan.

“Kita mengikut pelan yang direncana dan akhir Ogos atau September dapat lihat keputusan vaksinasi iaitu penurunan kes bagi kategori tiga hingga lima selain berada di landasan betul menuju ke fasa pemulihan seterusnya,” katanya.

Amirudin berkata demikian dalam sidang media khas berkenaan status dan usaha terkini vaksinasi di Selangor secara maya hari ini.

Pada 16 Julai, Amirudin berkata semua warga Selangor yang mendaftar akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Ogos.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan Kerajaan Selangor kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memberi manfaat kepada 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.


Pengarang :