Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan titah ucapan perasmian kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj semasa perasmian Dewan Negeri Selangor (DNS) yang bermula hari ini. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Sidang DNS bahas isu Covid-19, kebajikan rakyat dan ekonomi

SHAH ALAM, 23 OGOS: Isu menangani Covid-19 akan dibahaskan sebaiknya pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang bermula hari ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata agenda kebajikan rakyat serta pemulihan ekonomi negeri juga antara perkara yang turut dibahaskan sepanjang dua minggu dewan bersidang.

“Mewakili seluruh pentadbiran Kerajaan Negeri, patik menjunjung kasih atas segala titah pesanan dan nasihat Tuanku untuk memfokuskan usaha kepada membantu rakyat yang terhimpit akibat pandemik dan keadaan ekonomi yang meleset.

“Diharapkan sidang dewan ini mampu merencana hala tuju negeri yang akan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya di Facebook.

Pagi tadi Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mencemar duli merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat DNS ke-14 hari ini.

Dalam titah, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan sukacita atas usaha Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai pakej bantuan bagi meringankan beban rakyat ketika berdepan kemelut dan kesusahan akibat penularan pandemik Covid-19.

Baginda Sultan Selangor turut mengingatkan ahli politik supaya tidak merebut kuasa hingga mengabaikan tanggunjawab membela rakyat.

Pada 9 Julai, Amirudin berkata persidangan kali ini itu mengikut format biasa meliputi soal jawab dan perbahasan, bukan sekadar sidang khas.

Beliau menegaskan sidang dewan dibuat dengan pematuhan ketat tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelakkan penularan Covid-19.

 


Pengarang :