Dato’ Seri Amirudin Shari melekatkan Jalur Gemilang pada motosikal peserta program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 21 Ogos 2021. Foto RADIN WAZIR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB: Tampil idea luar kotak untuk cipta peluang kerja baharu

SHAH ALAM, 31 OGOS: Kerajaan Negeri sentiasa tampil ke hadapan dengan beberapa usaha dan idea di luar kotak untuk menjamin serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu antaranya menerusi pelaksanaan Selangor Advance, Selangor Freelancer, Niaga Darul Ehsan serta perumahan mampu milik berkualiti seperti Rumah Idaman.

Katanya, turut dilaksanakan pengkhususan dalam kesihatan awam untuk menangani penularan Covid-19 seperti saringan berskala besar serta bantuan pantas kepada golongan terkesan.

“Generasi hari ini terpaksa mewarisi dunia yang bakal menghadapi cabaran berlainan berbanding generasi terdahulu

“Antaranya isu perubahan iklim, perumahan mampu milik, model pengajaran dan pembelajaran bertaraf dunia, peluang dan kualiti pekerjaan baharu serta sistem kewangan lebih adil dan saksama,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Kemerdekaan ke-64.

Justeru, beliau berkata cara dan pendekatan yang digunakan untuk menangani perkara tersebut amat penting kerana generasi muda bakal menjadi duta abad ke-21.

Dalam masa sama, Amirudin turut mengajak generasi muda untuk memahami, mendalami dan menghargai usaha dan pengorbanan generasi terdahulu.

“Kesedaran ini penting bagi memastikan generasi muda tidak terkeluar daripada rasa kekitaan dalam memelihara identiti kebangsaan yang menjadi hak bersama kita semua.

“Tun Abdul Razak pernah berpesan kita bertanggungjawab mengisi kemerdekaan dengan membina satu bangsa (daripada rakyat berasal pelbagai bangsa) yang mempunyai taat setia tidak berbelah bahagi kepada negara,” katanya.

 


Pengarang :