Dato’ Seri Amirudin Shari bersama wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri meninjau keadaan insiden runtuhan khemah di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang dilanda ribut pada 7 OGOS 2021. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDANASIONAL

MB tinjau CAC dilanda ribut, kerja baik pulih giat dibuat

SHAH ALAM, 7 OGOS: Tiada individu dilaporkan cedera dalam insiden runtuhan khemah di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang akibat ribut kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketika ini kerja membaik pulih kerosakan khemah di pusat penilaian terbabit giat dilaksanakan.

“Alhamdulillah, tiada kecederaan dan kemalangan melibatkan para petugas serta pengunjung dicatatkan.

“Kerja-kerja pembaikan sedang dilaksanakan segera bagi memastikan CAC tersebut dapat dibuka semula untuk orang awam,” tulis Amirudin di Facebook rasminya.

Insiden runtuhan khemah di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang dilanda ribut pada 7 OGOS 2021. Foto Facebook Amirudin Shari

Terdahulu, beliau bersama wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri meninjau keadaan di lokasi sebaik menerima maklumat berhubung insiden terbabit.

CAC Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang memulakan operasi pada 30 Julai lalu selepas dipindahkan dari Dewan Sukan Taman Sri Andalas susulan bantahan penduduk setempat.

CAC ditubuhkan Kementerian Kesihatan (KKM) pada akhir Januari lalu bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.


Pengarang :