Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) UIAM, Gombak pada 18 Ogos 2021. FOTO UIAM
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB tinjau suntikan dos pertama Vaksin Selangor di PPV UIAM

GOMBAK, 18 OGOS: Dato’ Menteri Besar meluangkan masa meninjau proses suntikan dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang tiba pada jam 8.15 pagi meninjau operasi PPV bermula dengan stesen saringan gejala dan suhu, pendaftaran, konsultasi dan persetujuan, suntikan serta pemerhatian.

Lawatan ke PPV itu yang beroperasi mulai semalam, diiringi Rektor UIAM Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak, Pengarah PPV UIAM Dr Muhammad Faris Abdullah dan Pengarah Pasukan Khas Selangor Covid-19 (STFO) Dr Mohammad Farhan.

Turut serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Mohd Yazid Sairi dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia Abdul Rahim Kasdi.

Dalam lawatan itu, Amirudin diberi senaskhah al-Quran dan plak oleh Dr Dzulkifli sebagai tanda penghargaan.

Beliau kemudian merakam foto kenangan di replika picagari sebagai simbolik kerjasama program Vaksin Selangor (Selvax) dengan institusi pengajian tinggi terbabit.

Terdahulu, tinjauan Selangorkini mendapati orang ramai yang hadir mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan mengimbas kod bar Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan MySejahtera, menyukat suhu badan serta menjaga penjarakan fizikal.

Lokasi PPV turut dikawal ketat oleh polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penguat kuasa MPS.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Manakala program percuma Selvax Komuniti akan memanfaatkan 250,000 penduduk Selangor khususnya warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) membabitkan 500,000 dos.

Program Selvax merupakan pelengkap kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)


Pengarang :