Ucapan takziah yang dikongsikan Dato’ Seri Amirudin di media sosialnya kepada keluarga dua anggota polis yang terkorban ketika menjalankan tugas pada 8 Ogos 2021. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDANASIONAL

MB ucap takziah, dua polis maut kejar suspek lumba haram

SHAH ALAM, 9 OGOS: Dato’ Menteri Besar mengucapkan takziah kepada keluarga dua anggota polis yang terkorban ketika mengejar suspek lumba haram, awal pagi semalam.

Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebooknya turut mendoakan agar roh Almarhum Sarjan Mohd Arifah Md Yasin dan Konstabel Mohd Muradzi Mohd Nawi dicucuri rahmat.

“Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Ucapan takziah turut dirakamkan buat warga Kontinjen Polis Selangor.

“Pemergian kedua-dua anggota ini adalah kehilangan besar buat Kontinjen Polis Selangor dan IPD Kajang kerana dedikasi dan komitmen mereka terhadap amanah serta tanggungjawab,” tulisnya.

Dua anggota polis berkenaan maut selepas terbabit kemalangan ketika mengejar suspek lumba haram dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang dari arah Kajang menghala ke Putrajaya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, Mohd Arifah, 36 dan Mohd Muradzi, 26, kedua-duanya bertugas di IPD Kajang, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohd Arifah, yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) menunggang Yamaha 115Z manakala Mohd Muradzi, yang bertugas di Cawangan Jenayah (D4) menunggang Yamaha RXZ ketika kejadian.


Pengarang :