Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Komuniti Serendah, Hulu Selangor pada 4 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB yakin suntikan tanpa janji temu lima PPV negeri lancar

HULU SELANGOR, 4 OGOS: Dato’ Menteri Besar yakin pemberian suntikan tanpa janji temu bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di lima pusat vaksin (PPV) negeri berjalan lancar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif mulai semalam hingga 13 Ogos memanfaatkan individu yang belum menerima tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera.

“Cuma kita perlu tangani isu kehadiran peserta yang tidak mendaftar kerana mungkin mengambil masa panjang untuk proses tersebut, namun saya percaya kaedah ini akan berjalan dengan lebih teratur.

“Malah, kita menyediakan PPV khas untuk warga asing di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya bermula 10 hingga 13 Ogos. Majikan digalak membuat prapendaftaran dengan menghubungi pihak Selvax bagi mempercepat proses suntikan,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau PPV Dewan Komuniti Serendah di sini hari ini yang turut disertai EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud.

Sementara itu, Amirudin berkata pihaknya akan mempergiat usaha mengesan individu yang belum disuntik bagi meningkatkan jumlah penerima vaksin.

“Sekarang tugas kita untuk menggembleng tenaga mencari mereka yang tertinggal di rumah atas halangan tertentu atau sengaja tidak dapat memunculkan diri di PPV.

“Dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, kita berbincang untuk mencari seramai mungkin golongan berkaitan memandangkan operasi lonjakan kapasiti berakhir beberapa hari lepas,” katanya.

Selangor menyediakan lima PPV khusus untuk orang ramai mendapat suntikan tanpa janji temu di Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya; Evo Mall, Bandar Baru Bangi; Aurora Place, Bukit Jalil; Hotel De Palma, Shah Alam dan Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.

Manakala warga asing pula dikhaskan pada 10 hingga 13 Ogos di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Pendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan masukkan kod baucar bagi mendapatkan vaksin di PPV berhampiran.

 


Pengarang :