Sukarelawan Team Selangor mengagihkan pelitup muka kepada pengunjung pasar malam Taman Selayang Baru pada 17 November 2020. Foto Team Selangor
PBTSELANGOR

MBSA tidak benar kanak-kanak bawah 12 tahun ke pasar malam

SHAH ALAM, 24 OGOS : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tidak membenarkan kanak-kanak bawah 12 tahun berkunjung ke pasar malam atau pasar minggu di bawah pentadbirannya.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata langkah itu dibuat bagi mengelak jangkitan Covid-19 kepada golongan tersebut yang juga antara individu berisiko.

“Jika ada yang membawa anak bawah 12 tahun, kita akan minta penguat kuasa memaklumkan kepada ibu bapa ini dan minta salah seorang (ibu atau bapa) sahaja masuk.

“Individu dewasa yang berkunjung ke pasar malam atau pasar minggu juga perlu lengkap vaksinasi dan mematuhi tatacara operasi piawai ditetapkan kerajaan,” kata Shahrin Ahmad kepada SelangorKini.

Sementara itu, berbeza dengan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang tidak melarang ibu bapa membawa kanak-kanak di bawah umur 12 tahun ke pasar malam atau minggu.

Namun, Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Ahmad Fauzi Ishak berkata pihaknya tidak menggalakkan kehadiran golongan tersebut serta berharap ibu bapa memikirkan keselamatan anak mereka.

“Tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap ibu bapa yang membawa anak ke kawasan berkenaan, cuma MPS mengingatkan agar masyarakat tidak menyalahgunakan kelonggaran diberikan,” katanya.

Pada 19 Ogos, kerajaan mengumumkan kebenaran membenarkan individu lengkap dua dos menikmati kemudahan makan di restoran, bersukan dan pergi ke pasar malam serta pasar minggu di negeri fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 20 Ogos.

Mengikut takrif kerajaan, seseorang dianggap lengkap dua dos selepas 14 hari mendapat suntikan kedua vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, atau 28 hari suntikan kedua Johnson & Johnson dan Camsino.

Untuk menikmati kemudahan tersebut, mereka harus menunjukkan bukti penerimaan dua dos melalui sijil digital vaksinasi Covid-19 di aplikasi MySejahtera.

 


Pengarang :