Deretan van jenazah yang membawa enam daripada 12 jenazah pesakit Covid-19 dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk dikebumikan ketika tinjauan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam pada16 Julai 2021. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA ubah suai lori bawa jenazah pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 9 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil inisiatif mengubah suai sebuah lori untuk dijadikan kenderaan membawa jenazah pesakit Covid-19.

Ketua Bahagian Korporatnya berkata usaha itu bagi membantu mempercepat pengurusan jenazah untuk dibawa ke Tanah Perkuburan Islam di Seksyen 21 di sini.

“Lori yang diubah suai ini boleh membawa 12 jenazah dalam satu-satu masa dari hospital yang ditetapkan. Proses pengebumian kelmarin melibatkan jenazah dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

“Kita berharap kenderaan ini dapat membantu mempercepat proses pengebumian jenazah pesakit Covid-19 dan memudahkan urusan semua pihak,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan.

Malaysia mencatatkan angka korban tertinggi semalam sebanyak 360 kes dengan Selangor merekodkan jumlah tertinggi iaitu 221 kes.

Sebanyak 41 kes kematian turut direkodkan di Kuala Lumpur, Melaka (20), Perak (17), Pulau Pinang (15), Johor (14) dan Kedah (tujuh).

Negeri Sembilan dan Pahang pula masing-masing mencatatkan enam kes, lima di Sabah dan Terengganu, dua di Putrajaya serta satu di Kelantan.

 


Pengarang :