Selangorkini
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah. Foto Facebook Dato’ Shamsul Anuar Nasarah
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Menteri tenaga letak jawatan, sokong Umno tolak Muhyiddin

SHAH ALAM, 3 OGOS: Susulan keputusan Umno menarik balik sokongan terhadap kerajaan, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah meletak jawatan sebagai menteri tenaga dan sumber asli hari ini.

“Mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti, maka sebagai ahli Umno yang patuh dan setia kepada parti, saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai ahli jemaah menteri kerajaan persekutuan,” katanya.

Dr Shamsul Anuar, ahli parlimen Lenggong, membuat keputusan mengejut itu setelah Umno menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun setakat ini masih belum jelas berapa ramai lagi menteri Umno dan wakil rakyat parti itu yang masih menyokong kerajaan pusat.

Selepas mesyuarat Majlis Tertinggi, presidennya Datuk Seri Zahid Hamid berkata nama-nama ahli parlimen yang menarik sokongan telah dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut senarai wakil rakyat Umno tetapi sebahagian daripada mereka turut hadir ketika mengumumkan keputusan parti itu secara langsung di Facebook.

Sepuluh ahli parlimen yang berdiri di belakang Zahid tadi, antaranya, Datuk Najib Razak, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Azalina Said Othman, Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Ahmad Maslan.


Pengarang :