EXCO Kerajaan Negeri, Borhan Aman Shah ketika sesi perbahasan sidang Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 4 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBT SELANGOR

Milikan tanah balai raya, dewan orang ramai di Hulu Langat dikemas kini

SHAH ALAM, 28 OGOS: Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat (PDTHL) mengemas kini maklumat pemilikan tanah bagi tapak balai raya dan dewan orang ramai di daerah berkenaan.

EXCO pembangunan luar bandar dan kampung tradisi berkata sekiranya terdapat balai raya dan dewan orang ramai yang belum diwartakan, proses berkenaan akan dilakukan segera.

Borhan Aman Shah berkata ia bagi memastikan tiada isu penyalahgunaan balai raya serta masalah lain yang boleh mengganggu kelangsungan pengoperasian.

“PDTHL bertanggungjawab untuk melaksana kerja baik pulih dan penyelenggaraan balai raya dan dewan orang ramai yang digunakan pihak MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) berdasarkan tahap kritikal sesuatu permohonan.

“Peruntukan baik pulih dan penyelenggaraan balai raya dan dewan orang ramai kebiasaanya diperoleh daripada Unit Perancangan Ekonomi Negeri Selangor dan peruntukan projek kecil di bawah peruntukan tahunan Ahli Dewan Negeri dan Ahli Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan sidang Dewan Negeri Selangor semalam sebagai menjawab isu dibangkitkan wakil rakyat Balakong mengenai status balai raya dan dewan orang ramai seliaan PDTHL.

Borhan berkata terdapat 68 balai raya dan dewan orang ramai di bawah seliaan PDTHL dengan jumlah mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah meliputi 19 di Semenyih, Dusun Tua (20), Kajang (enam) dan Sungai Ramal (sembilan).

Selain dua di Balakong, Pandan Indah (satu), Lembah Jaya (empat), Bukit Antarabangsa (tiga) dan Teratai (empat).


Pengarang :