Petugas Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) membantu kakitangan yang menjadi kontak rapat kes positif Covid-19 di Bilik Gerakan MPS. Foto MPS
PBTSELANGOR

MPS tubuh bilik gerakan Covid-19, pantau kes libat kakitangan

SHAH ALAM, 30 OGOS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menubuhkan bilik gerakan bagi memantau kes Covid-19 membabitkan kakitangannya.

Yang dipertuanya berkata bilik gerakan beroperasi sejak 23 Januari lalu memudahkan siasatan punca kes dan rantaian kontak tempat kerja.

“Ia menguruskan data berkaitan petugas dijangkiti wabak dan menyelaras maklumat dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak.

“Arahan menjalani saringan akan dikeluarkan terhadap mereka yang menjadi kontak rapat selain dimakaikan gelang kuarantin dan memberi surat pelepasan selepas tamat tempoh,” kata Mohd Yazid Sairi ketika mempengerusikan mesyuarat bulanan MPS hari ini.

Menurutnya, MPS mengambil serius kebajikan dan keselamatan kakitangan sepanjang menjalankan tugas terutama yang bertugas di lapangan seperti penguat kuasa, petugas pembersihan serta petugas penyelenggaraan.

Sementara itu, Mohd Yazid berkata seramai 167 kakitangan dijangkiti Covid-19 setakat 26 Ogos lalu dengan 16 daripadanya masih dikuarantin.

Beliau turut memaklumkan 1,066 atau 95.52 peratus anggota MPS lengkap menerima dos vaksin dan hanya 16 lagi belum berbuat demikian.


Pengarang :