Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada 28 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Muhyiddin bukan PM sebaik akui tiada majoriti, patut letak jawatan

SHAH ALAM, 14 OGOS: Tan Sri Muhyiddin Yassin hilang kuasa sebagai perdana menteri sebaik sahaja mengakui tidak lagi memiliki sokongan majoriti ahli parlimen.

Berikutan itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata segala usul yang dikemukakan Muhyiddin  tidak lagi munasabah untuk dibincangkan.

“Perdana menteri mengaku hilang majoriti, beliau harus letak jawatan. Dalam keadaan ini tidak munasabah kita beri pertimbangan apa-apa usul yang dikemukakan.

“Usul perlu dikemukakan oleh perdana menteri baharu,” katanya mengulas isu sokongan perdana menteri dalam siaran langsung di Facebooknya malam ini.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan berkata kemelut yang dihadapi kini berpunca daripada kelemahan kerajaan menguruskan pandemik hingga ramai yang terkorban.

“Saya menegaskan berulang kali kelemahan kita untuk memperoleh vaksin cukup dan saya masih yakin jika ada kecekapan dan kewibawaan mempunyai vaksin cukup, kita bleh kurangkan mangsa korban,” katanya.

Dalam perutusan khas yang disiar secara langsung semalam, Muhyiddin mengakui sebahagian sekutu kerajaan Perikatan Nasional (PN) menarik balik sokongan setelah 15 wakil rakyat Umno menolak kepemimpinannya.

Susulan itu, kata Muhyiddin, sebagai perdana menteri beliau mempunyai pilihan sama ada mengundur diri bersama Kabinet atau memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Bagaimanapun, beliau mendakwa tiada seorang pun ahli parlimen lain yang mampu meraih majoriti sokongan Dewan Rakyat untuk menjadi perdana menteri baharu seterusnya membentuk kerajaan.

Dalam nada terdesak, beliau turut mencadangkan tujuh langkah bagi mencapai “rangka persefahaman rentas parti” yang akan dilaksanakan oleh kerajaan PN jika usul undi percaya terhadapnya diluluskan dalam masa terdekat.


Pengarang :