Foto Facebook Andalusia Bangi
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Naik taraf Santuari Kelip-kelip, agenda MPKS tarik pengunjung

SHAH ALAM, 29 OGOS: Menaik taraf kemudahan di Santuari Kelip-kelip, Kuala Selangor antara agenda pertama Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MDKS) selepas bertukar status.

Yang Dipertua Rahilah Rahmat berkata penambahbaikan melibatkan pembinaan dewan baharu serta pontun di jeti bagi menarik kehadiran orang awam.

“Dalam masa sama, tandas dan jeti juga akan dibaik pulih bagi keselesaan pengunjung. Kita juga akan melihat keperluan lain dari semasa ke semasa.

“Ini sebagai persediaan menerima lebih ramai pengunjung susulan penukaran status daerah ini kepada perbandaran,” katanya kepada SelangorKini.

Jelasnya, inisiatif sama juga akan dilaksanakan di beberapa lokasi pelancongan lain yang menjadi perhatian antaranya Sky Mirror dan Bukit Malawati.

“Promosi kawasan pelancongan semula jadi ini berterusan melalui media sosial selain kita jalin kerjasama dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) serta pihak swasta.

“MPKS merancang guna individu berpengaruh bagi mempromosikan tempat-tempat ini pada masa akan datang,” katanya.

Pada 7 Ogos, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memperkenan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dimasyhur sebagai perbandaran.

Upacara pemasyhuran disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari secara maya.


Pengarang :