Selangorkini
Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan amanat ringkas secara maya kepada pegawai kanan, ketua jabatan dan agensi negeri di bangunan rasmi pentadbiran Kerajaan Selangor di Shah Alam pada 5 Ogos 2021. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Negeri tegas tangani rasuah, tiada kompromi atas penyelewengan

SHAH ALAM, 5 OGOS: Kerajaan Negeri tidak sesekali berkompromi terhadap sebarang kegiatan rasuah dan penyelewengan dalam setiap lapisan pentadbirannya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan perkara itu susulan timbul isu integriti membabitkan penjawat awam di Selangor mutakhir ini.

“Pendirian Kerajaan Negeri jelas dan tegas, tiada kompromi ke atas sebarang bentuk penyelewengan di setiap lapisan.

“Namun kita juga berpegang kepada prinsip tiada sesiapa dianggap bersalah sehingga terbukti bersalah,” katanya di Facebook rasminya hari ini.

Amirudin turut menggesa penjawat awam supaya memastikan sistem penyampaian terus efektif dan efisien tanpa berkompromi dengan aspek integriti.

Petang tadi, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat secara telus dan teliti kes rasuah di negeri ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah siasatan itu bagi memastikan pelaku yang dihadapkan ke mahkamah tidak terlepas dengan mudah.

Sebelum ini, baginda memberi amaran akan menarik semula darjah, bintang kebesaran dan pingat yang diberi kepada pegawai atau ahli politik negeri itu jika didapati terlibat aktiviti rasuah.

Pada 23 Julai, SPRM menahan dua bekas yang dipertua pihak berkuasa tempatan kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor projek dan pemaju perumahan kawasan masing-masing.


Pengarang :