Selangorkini
Ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg membuat terjunan dalam pusingan akhir acara 10 meter platform wanita pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Pusat Akuatik Tokyo, pada 5 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Olimpik: Ratu terjun negara tamatkan saingan di kedudukan ke-12

TOKYO, 5 OGOS: Kesilapan pada terjunan pertama mengundang padah sekali gus menyebabkan ratu terjun negara Pandelela Rinong terlepas peluang meraih sebarang pingat dengan menamatkan kedudukan di tempat ke-12 acara 10 meter (m) platfrom wanita di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Penerjun berusia 28 tahun yang beraksi di Olimpik keempatnya selepas kali pertama pada edisi 2008 di Beijing, jauh ketinggalan selepas kesilapan pada terjunan pertamanya yang hanya meraih 18.00 mata di Pusat Akuatik Tokyo hari ini.

Atlet kelahiran Kuching, Sarawak itu kembali menemui rentak dengan memperoleh 71.05; 60.80; 52.80 dan 43.20 mata dalam setiap terjunan, namun tidak dapat membantu memperbaiki kedudukan di tempat ke-12, sekali gus meranapkan impian pingat buat kem terjun negara.

Tanpa dapat digugat, dua penerjun muda dari China Quan Hongchan, 14, dan Chen Yuxi, 15, terus menguasai acara terjun dengan masing-masing meraih pingat emas dan perak dengan pungutan mata sukar digugat 466.20 dan 425.40 sementara penerjun Australia Melissa Wu memperoleh gangsa dengan 371.40.

Pada edisi kali ini, kem terjun negara pulang dengan tangan kosong selepas berjaya menyumbang pingat di dua temasya terdahulu – pingat gangsa melalui Pandelela dalam acara 10m platform edisi London 2012 dan perak melalui gandingan Pandelela dan Cheong Jun Hoong dalam 10m platfrom seirama di Rio 2016.

Pandelela layak ke separuh akhir semalam, selepas menduduki tempat ke-18 pusingan kelayakan dengan 284.90 mata, manakala rakan senegara Cheong Jun Hoong terkandas dengan menamatkan saingan di kedudukan ke-26 dengan 251.80 mata.

Pandelela adalah satu-satunya harapan kem terjun Malaysia, selepas gandingannya bersama Leong Mun Yee menamatkan kedudukan di tempat kelapan acara 10m platform seirama pada 27 Julai lepas, manakal Nur Dhabitah Sabri di tempat keempat acara 3m papan anjal pada Ahad.

Pandelela muncul atlet wanita pertama Malaysia memenangi pingat di Sukan Olimpik selepas meraih pingat gangsa acara 10m platform wanita pada edisi 2012 di London.

Acara terjun, badminton dan berbasikal trek adalah antara sukan yang disasarkan bakal menyumbang pingat buat kontinjen Malaysia di Olimpik Tokyo.

Pasangan utama lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih pingat gangsa acara beregu lelaki pada Sabtu.

-BERNAMA


Pengarang :