Petugas kesihatan lengkap berpakaian sut pelindung diri (PPE) membantu orang ramai yang hadir di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati Shah Alam ketika tinjauan Selangorkini pada 17 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGOR KINI
BERITA UTAMARENCANA

Pakar: Kelesuan pandemik serius, orang ramai tidak semangat patuhi SOP

Oleh Nurqalby Mohd Reda

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Kelesuan pandemik yang dialami masyarakat di negara ini dilihat oleh pakar kesihatan dan psikologi sebagai semakin kritikal dan pada tahap membimbangkan.

Malah, mereka melihat peningkatan kes sekarang turut disumbangkan oleh kelesuan pandemik apabila sebahagian ahli masyarakat sudah muak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang dikuatkuasakan sejak Mac tahun lepas.

Masakan tidak, di sebalik pematuhan SOP dan sekatan pergerakan, kes baharu harian konsisten lima angka dan tidak menunjukkan sebarang tanda akan bertambah baik. Malah semalam, negara merekodkan angka harian tertinggi baharu sebanyak 22,948 kes sejak Covid-19 dikesan di negara ini pada akhir Januari tahun lepas.

Seperti yang dinyatakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kelesuan pandemik ialah rasa tidak bermotivasi untuk mengikuti saranan pihak berkuasa bagi melindungi diri dan orang lain daripada virus, dan menurut pakar, antara tanda-tanda kelesuan pandemik ialah individu berasa semakin bosan, keletihan melampau dan tidak bermotivasi, baik untuk bekerja mahupun melakukan perkara-perkara lain.

MASALAH MENTAL

Pensyarah Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Siti Marziah Zakaria berkata sekiranya dibiarkan berterusan, keadaan itu boleh membawa masalah kesihatan mental yang teruk.

Ini katanya dapat dilihat melalui kajian yang dijalankan pusat itu dari Disember 2020 hingga Mac tahun ini yang melibatkan 2,047 responden berumur 18 tahun ke atas di seluruh negara.

“62.5 peratus daripada responden mengalami keletihan pandemik pada tahap yang membimbangkan apabila sebahagian besar mereka menyatakan kerap berasa penat secara fizikal dan mental kerana perlu berhadapan dengan pelbagai SOP susulan pandemik ini.

“Kelesuan ini akan terus meningkat apabila semakin panjang tempoh sekatan dengan pelbagai SOP perlu dipatuhi sehingga menyebabkan rakyat bosan untuk mematuhi langkah dan arahan yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Siti Marziah, kelesuan pandemik turut dialami oleh negara-negara lain yang boleh dilihat daripada peningkatan kes disebabkan ketidakpatuhan kepada SOP dan sekatan yang dikenakan.

“Ini jugalah yang sedang berlaku di negara kita. Selain disebabkan varian yang lebih mudah tersebar seperti varian Delta, sikap masyarakat yang sudah lesu menyebabkan ramai yang ambil mudah SOP, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kes,” katanya.

Tidak perlu pergi jauh untuk mengukur tahap kelesuan pandemik masyarakat. Layari sahaja laman sosial dan kita akan jumpa hantaran-hantaran “Jadi sampai bila? Apa sudah jadi? Kami duduk berkurung dalam rumah ingat kes turun… sampai bila nak kena duduk di rumah?” yang menggambarkan kekecewaan masyarakat terhadap situasi semasa.

CARA TANGANI

Bagaimana mahu mengatasi?

Tidak mudah. Namun menurut pakar, cara terbaik untuk keluar daripada kelesuan pandemik ini ialah mengajar diri “menerima” dengan hati yang terbuka ujian yang sedang kita hadapi dan menyesuaikan diri agar dapat terus bertahan.

“Cuba pandang pada hikmah di sebalik pandemik yang melanda dan cari kebaikan di sebalik perintah berkurung, SOP yang diperkenalkan.

“Paling penting melihat dengan cara positif, mendengar perkara-perkara yang positif dan sentiasa berfikir secara positif,” kata Siti Marziah.

Selain itu, ahli masyarakat juga disaran mengatur masa dengan menyeimbangkan waktu bekerja, belajar dan bersantai.

“Hasil kajian menunjukkan daya tindak boleh menurunkan tekanan semasa pandemik dan ini penting untuk membantu masyarakat yang kini banyak masa di rumah membuat jadual bagi menguruskan masa selain mencari hobi yang sesuai sebagai terapi,” katanya.

(Daya tindak merujuk kepada usaha yang diambil oleh seseorang untuk mengurangkan tekanan dengan mengubah emosi atau menyingkirkan sumber-sumber yang menyebabkan tekanan)

Pandangan sama turut diberikan Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya Dr Harris Shah Abd Hamid yang berkata masyarakat perlu mempelbagaikan aktiviti peribadi termasuk hobi bagi mengembalikan kegembiraan diri selain mengelak perasaan keterasingan.

Jelas beliau, kelesuan pandemik yang boleh dianggap sebagai simptom psikologikal berikutan pendedahan tekanan berpanjangan akibat pandemik, boleh dilihat melalui reaksi yang ditunjukkan masyarakat pada masa kini, antaranya ramai menjadi lebih sensitif, mudah marah dan cepat mengeluarkan kata-kata yang tidak baik.

Justeru, untuk keluar daripada belenggu kelesuan pandemik ialah dengan menguruskan “jangkaan, aktiviti peribadi dan sempadan” atau ringkasnya JAS.

‘’Memang banyak yang telah berubah sejak pandemik melanda. Jangkaan kita terhadap pekerjaan, gaya hidup, cara berhibur dan lain-lain perlu disemak semula dan jangkaan atau harapan yang terlalu tinggi (untuk keluar daripada pandemik) mungkin akan menyebabkan kita kecewa.

“Jadi, kita perlu melihat semula jangkaan-jangkaan ini supaya lebih realistik dengan keadaan semasa, sekali gus dapat mewujudkan semangat positif dan produktif,’’ katanya yang turut menyarankan individu yang bekerja dari rumah mewujudkan sempadan yang jelas di antara urusan kerjaya dan keluarga bagi mengelakkan keletihan berganda.

KURANGKAN KETIDAKPASTIAN

Harris Shah berkata kerajaan juga perlu memainkan peranan dengan mengurangkan elemen ketidakpastian apabila menyampaikan maklumat berkaitan pandemik kepada rakyat.

“Sebagai contoh, pastikan pengumuman yang diberi kepada rakyat bersifat komprehensif dan tidak meninggalkan maklumat penting sehingga menimbulkan tanda tanya. Jika ada persoalan yang berbangkit, ia perlu ditangani segera.

‘’Wakil kerajaan yang berucap atau berkomunikasi secara langsung perlu mempamerkan daya empati yang tinggi terhadap apa yang rakyat rasai, elakkan daripada menafikan rungutan dan suara hati rakyat seolah-olah kelesuan pandemik ini tidak berlaku,’’ katanya

Tegas beliau, sejarah peradaban manusia juga membuktikan situasi pandemik berjaya ditamatkan walaupun mengambil masa.

Sehubungan itu, pada waktu sukar sebegini masyarakat perlu berfikir dengan cara berbeza dan lebih positif yang disifatkan oleh beliau sebagai antara usaha terbaik bagi mengatasi kelesuan pandemik.

“Sebagai contoh, kita boleh berfikir tentang kadar vaksinasi (di negara kita) yang pada satu masa adalah kadar terpantas di dunia. Kita perlu berfikir secara optimis bahawa langkah ini (vaksinasi) akan menyelesaikan krisis pandemik yang kita hadapi sekarang.

“Kita juga perlu kurangkan pendedahan terhadap maklumat yang boleh menjejaskan emosi kita. WHO sendiri mencadangkan supaya dihadkan pembacaan tentang Covid-19 jika kita terkesan secara negatif,’’ katanya.

-BERNAMA


Pengarang :