Orang ramai termasuk kanak-kanak menyertai Saringan Komuniti Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna MBSA U5, Shah Alam pada 27 Mei 2021. Foto MOHAMMAD RAHEEMIE ARIFIN/ SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pakar: Peringkat usia 12 hingga 17 tahun terdedah risiko jika lambat divaksin

SHAH ALAM, 3 OGOS: Individu berusia 12 hingga 17 tahun perlu segera divaksin berikutan mereka terdedah kepada kesan lebih buruk jika dijangkiti Covid-19 berbanding golongan berumur 18 tahun ke atas.

Pakar Kesihatan Perunding Pediatrik Hospital Pakar Damansara Datuk Dr Musa Nordin berkata peringkat usia itu berdepan risiko keradangan jantung miokarditis lebih tinggi sekiranya belum menerima pelalian.

“Mereka (kerajaan) kata tidak boleh sebab kesan pada jantung. Sebenarnya, kalau remaja lelaki dijangkiti Covid-19, kesan kena miokarditis 13 kali lebih tinggi manakala kesan kepada remaja perempuan 24 kali.

“Golongan tersebut berdepan risiko masuk hospital, menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) serta mengalami radang otak, paru-paru dan buah pinggang.

“Kesan jangka panjang pula berdepan sakit sendi, kesukaran bernafas. Kita tidak mahu ini berlaku kepada anak-anak,” katanya dalam program Solusi Selamatkan Malaysia.

Program secara langsung di Facebook Reset Malaysia itu turut menampilkan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz.

Dr Musa menjelaskan pemberian vaksin kepada golongan itu mendekati pembentukan imuniti kelompok memandangkan ia melibatkan kira-kira lima juta rakyat negara ini.

“Sasaran ketika ini kepada 18 tahun ke atas tidak akan membentuk imuniti kelompok kerana ada yang tolak vaksin. Jadi dengan suntik lima juta individu (12 hingga 17 tahun) kita boleh lindungi mereka dan komuniti lebih besar,” katanya.

Pada 30 Jun Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata kerajaan mempertimbang semula keputusan membenarkan kumpulan remaja menerima vaksin Covid-19 Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech susulan wujud risiko keradangan jantung, miokarditis dan perikarditis seperti dilaporkan di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Singapura.


Pengarang :