Petugas kesihatan membuat persiapan mencucuk bebuli vaksin sebelum memberi suntikan secara pandu lalu kepada kakitangan Sirim di Shah Alam pada 31 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pakar: Wanita rancang hamil perlu lengkapkan suntikan vaksin

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Wanita yang merancang kehamilan digesa untuk membuat persiapan awal dengan melengkapkan diri dengan suntikan vaksin Covid-19 terlebih dahulu, bagi mengurangkan risiko dan kesan jangkitan virus berkenaan.

Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Habibah Abdul Hamid berkata ia amat penting sebagai langkah perlindungan memandangkan ibu hamil yang dijangkiti Covid-19 lebih berisiko untuk mengalami jangkitan serius yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi, berbanding wanita yang tidak mengandung.

“Buat masa ini saya menggalakkan semua wanita yang dalam proses mendapatkan bayi, sama ada menerusi rawatan IUI (permanian beradas), IVF (persenyawaan in-vitro atau bayi tabung uji), lengkapkan dulu dua dos (vaksin), ini adalah yang terbaik,” katanya kepada Bernama.

Bagi ibu hamil pula, Dr Habibah berkata pengambilan vaksin perlu dilengkapkan sebelum memasuki fasa akhir kehamilan iaitu trimester ketiga.

Beliau menjelaskan orang ramai tidak perlu takut untuk mengambil vaksin kerana ia telah terbukti selamat untuk mereka dan kandungan.

Semalam Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 70 kes kematian ibu hamil disebabkan komplikasi jangkitan COVID-19 dilaporkan sehingga 9 Ogos lepas, berbanding sifar kematian ibu hamil direkodkan pada 2020 akibat komplikasi wabak itu.

Sebanyak 3,396 kes Covid-19 dilaporkan dalam kalangan ibu hamil di Malaysia sejak Mac 2020 sehingga Jun 2021, manakala peratus ibu hamil yang dijangkiti Covid-19 yang menerima penjagaan rawatan rapi telah meningkat daripada tiga peratus pada 10 Julai lepas kepada 5.3 peratus pada 7 Ogos baru-baru ini.

Sementara itu menerusi program Koresponden BERNAMA terbitan Bernama Tv hari ini, Dr Ismail Yusoff yang bertugas di sebuah klinik swasta di Selangor berkata ibu hamil yang disahkan positif Covid-19 dan menjalani kuarantin di rumah disarankan berhubung dengan doktor yang boleh memeriksa secara konsultasi dalam talian (teleconsultation) bagi memudahkan pemantauan berkala.

Beliau berkata mereka juga perlu memastikan beberapa parameter seperti seperti suhu badan, kadar pernafasan, tahap oksigen serta denyutan nadi berada dalam keadaan normal serta melaporkan segera kepada doktor jika berlaku kecemasan.

“Satu lagi ibu mengandung pastikan ubat di rumah mencukupi seperti asid folik dan yang ada sakit kronik pastikan ada ubat sebab kalau dah dijangkiti tak boleh keluar rumah (kalau kuarantin kendiri),” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :