Penggali kubur dan sukarelawan Amal Valley menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang pada 23 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Pancaroba urus jenazah, berlapar, tahan hajat berjam-jam

Bersama air mata, jenazah bayi perempuan berusia lima bulan di pangkunya kemas. Perjalanan dari bilik mayat Hospital Ampang ke tanah perkuburan Islam Sungai Ramal Luar, Kajang terasa begitu jauh.

Walau berpuluh-puluh jenazah pesakit Covid-19 diuruskan Zulkepli Gembor sejak Januari, kali ini sukarelawan berusia 51 tahun tidak mampu menampung hiba.

Sukarelawan Amal Valley Zulkepli Gembor, 51, memangku jenazah bayi yang meninggal dalam kandungan ketika berusia lima bulan – Foto AMAL VALLEY

Walau tiada pertalian darah, hatinya tersayat dengan peristiwa 3 Ogos itu. Pemergian bayi tersebut, mati dalam kandungan ketika ibunya ditidurkan akibat Covid-19, benar-benar menghimpit emosinya.

Kehadiran bayi itu telah sekian lama dinanti-nantikan bapanya. Sebelum ini, empat kali isterinya keguguran. Bayi itu dikeluarkan pada 2 Ogos melalui pembedahan ketika ibunya ditidurkan sehari sebelumnya.

Jenazah Ain Shuhada diuruskannya dari tayamum hingga ke liang lahad. Walau wajahnya tidak pernah ditatap, beliau selalu terkenang bayi tersebut.

“Rasa Ain macam cucu saya. Allahuakbar, tidak tahu mahu cakap macam mana. Sedih memang sedih, saya istighfar tetapi memang tidak boleh. Sukar hendak digambarkan perasaan ini,” kata juruteknik lif yang menjadi sukarelawan Pertubuhan Lembah Amal (Amal Valley) kepada Selangorkini.

Memang bukan mudah mengurus jenazah pesakit Covid-19. Selain kepiluan bukan kepalang, seperti yang dirasai Zulkepli, banyak cabaran lain yang harus didepani.

Tahan hajat

Risiko sentiasa berlegar sekeliling mereka. Justeru, pemakaian sut pelindungan diri (PPE) wajib demi mengelak dari dijangkiti. Namun, ia bukan sesuatu yang menyenangkan.

Sukarelawan Amal Valley membantu petugas Kementerian Kesihatan Malaysia mengusung jenazah pesakit Covid-19 di Hospital Ampang pada 23 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Jangan kata menahan lapar dan dahaga, hendak membuang hajat pun terpaksa ditahan-tahankan. Begitu lumrah kehidupan sukarelawan urusan jenazah pesakit Covid-19.

Pernah sekali Aminuddin Ahmad Nasir, 33, bermandi peluh hampir setengah hari ketika membawa jenazah dari Lembah Klang ke Johor.

“Dengan pelitup muka, agak susah bernafas. Hendak buat apa pun terbatas. Sebaik pakai PPE, makan minum pun tidak boleh. Hendak buang air kecil pun tidak boleh. Bukan sebab tiada masa tetapi memang tidak boleh,” katanya.

Kegetiran itu begitu terasa apabila mereka membuat perjalanan jauh merentas negeri. Mereka juga sama sekali dilarang keluar kenderaan sebaik sahaja membawa jenazah dari bilik mayat.

Sukarelawan Amal Valley mengeluarkan mayat pesakit Covid-19 untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang pada 23 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Untuk mengisi minyak terutama kes pengebumian di luar Selangor, pun dilarang. Mereka lazimnya meminta bantuan waris yang mengikuti kenderaan dalam perjalanan.

“Bukan itu sahaja, hendak isi minyak pun tidak boleh. Jadi, kami minta waris ikut dari belakang (kenderaan) dan beri duit minyak awal-awal untuk mereka tolong isikan.

“Sampai ke kubur, barulah boleh tanggal PPE. Itu pun jika ada kariah yang membantu. Jika tiada, kami sendiri kebumikan jenazah kemudian barulah boleh tanggal PPE,” kata penjawat awam itu.

Beliau yang dua tahun berpengalaman mengurus jenazah mengakui proses pengebumian pesakit Covid-19 jauh lebih mencabar berbanding kematian biasa.

Kuota kubur

Amran Selamat, 43, pula menganggap penolakan kariah daripada pengebumian jenazah di sesebuah tanah perkuburan tambah menyukarkan tugas mereka.

Penggali kubur dan sukarelawan Amal Valley menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang pada 23 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Antara 5 Julai hingga 21 Julai, lima daripada 180 jenazah yang diuruskan mereka ditolak kariah tertentu. Lazimnya mereka memberi alasan alamat si mati bukan dalam kawasan kariah mereka.

Meskipun masalah itu masih ada tetapi mereka menganggap situasi tersebut jauh lebih baik berbanding sebelumnya. Itupun selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat teguran kepada ahli jawatankuasa masjid tertentu.

“Sebelum ini, kalau ada 100 jenazah, 15 daripadanya ditolak terutama pada Februari dan Mac, ketika kes kematian meningkat akibat pandemik,” katanya.

Sanitasi dilakukan kepada jenazah pesakit Covid-19 sebelum proses pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang pada 23 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Penolakan jenazah pesakit Covid-19 berlaku ketika itu berikutan isu kuota. Kariah lebih mengutamakan tapak kubur untuk penduduk tetap. Sebaliknya, si mati pula selama hayatnya berpindah dari negeri lain ke kawasan tersebut.

Selain itu, ada juga permintaan waris untuk membawa jenazah ke negeri asal mereka. Sepanjang Julai lalu, enam jenazah dihantar ke Kedah, Johor, Kelantan dan Melaka.

“Dalam tempoh dua, tiga bulan ini sahaja kes kebumi ke luar Lembah Klang. Sebelum ini, ia tidak dibenarkan Kementerian Kesihatan,” katanya.


Pengarang :