Muhammad Aiman Abdullah, 28, bersama Nor Hafizah Mohd Suhaimi, 34, bergambar selepas selesai menerima suntikan ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Seri Serdang di Aurora Place Bukit Jalil pada 9 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pasangan tunang ambil langkah awal, vaksin sebelum nikah

BUKIT JALIL, 10 OGOS: Mahu mendirikan rumah tangga antara faktor utama Muhammad Aiman Abdullah hadir ke Program Vaksin Selangor (Selvax) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Aurora Place di sini.

Pemandu lori berusia 28 tahun itu mengambil langkah awal berikutan bimbang jabatan agama mewajibkan setiap pasangan perlu lengkap dua dos sebagai salah satu syarat dibenarkan nikah.

“Saya datang sini sebab hendak bernikah. Mungkin lepas ini ada syarat perlu vaksin untuk bernikah sebab sekarang ini masuk masjid pun perlu ada vaksin,” katanya ketika ditemui semalam.

Ditanya bila akan mendirikan rumah tangga, Muhammad Aiman berkata dia belum menetapkan tarikh dan akan membuat keputusan selepas situasi Covid-19 di negeri ini kembali reda.

Dia memaklumkan urusan pendaftaran melalui Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dilakukan oleh tunangnya yang dikenali sejak Februari menerusi permainan dalam talian ‘Call of Duty’.

Sementara itu, Nor Hafizah Mohd Suhaimi, 34, tunang kepada Muhammad Aiman berkata dia mendaftar untuk menerima vaksin selepas kesemua ahli keluarganya sudah disuntik.

Dia yang sebelum ini pernah menerima janji temu melalui MySejahtera terpaksa menolak berikutan lokasi PPV yang jauh dari rumahnya di Balakong.

“Saya terpaksa batalkan kerana jauh jadi saya cuba SELangkah, alhamdulilah sekali daftar terus dapat tarikh. Jumaat daftar, hari ini (semalam) sudah divaksin,” katanya yang juga guru mengaji.

Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Program yang bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.


Pengarang :