Persidangan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex pada 24 Ogos 2021. Foto RADIN WAZIR
AGENDANASIONAL

Patuh titah sultan, utama kebajikan rakyat elak rebut kuasa

SHAH ALAM, 24 OGOS: Wakil rakyat kerajaan dan pembangkang negeri ini senada untuk mengutamakan kebajikan rakyat ketika berdepan Covid-19 seperti dititahkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor semalam.

Mereka menyifatkan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj supaya ahli politik tidak merebut kuasa hingga mengabaikan tanggungjawab sebagai tepat dalam keadaan masa kini.

Ketua Pembangkang Datuk Rizam Ismail berkata semua wakil rakyat perlu berganding bahu mencari penyelesaian bagi membawa negeri ini keluar daripada kemelut wabak.

“Perlu ada kebersamaan menjayakan perancangan, saya berharap wakil rakyat pembangkang turut dibabitkan dalam pelaksanaan di kawasan diwakili,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Air Tawar.

ADN Kota Anggerik Najwan Halimi pula berkata budaya merebut kuasa di peringkat kerajaan pusat tidak seharusnya dibawa ke Selangor kerana tidak membawa manfaat kepada rakyat.

“Rakyat mahu kebajikan mereka dijaga, fokus hari ini sepatutnya memulihkan semula ekonomi yang giat dijalankan Kerajaan Selangor.

“Kita bernasib baik di Selangor kerana wakil rakyatnya tidak melihat perbezaan ideologi politik sebagai satu masalah,” katanya.

Semalam, Sultan Selangor ketika bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 mengingatkan ahli politik supaya tidak merebut kuasa hingga mengabaikan tanggungjawab membela rakyat.

Baginda bertitah rakyat terpaksa menanggung kesusahan apabila keadaan politik tidak stabil akibat perebutan kuasa.


Pengarang :