Ir Izham Hashim menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor pada 14 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Patuhi syarat negeri sebelum teruskan lebuh raya PJD Link

SHAH ALAM, 26 OGOS: Syarikat konsesi perlu mematuhi syarat ditetapkan Kerajaan Negeri sebelum boleh memulakan projek Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link).

EXCO infrastruktur berkata langkah itu bagi mengelakkan isu membabitkan urusan tanah dan bantahan penduduk terhadap jajaran lebuh raya yang melalui kawasan kediaman mereka.

Ir izham menjelaskan status pelaksanaan pembinaan projek itu juga masih dalam peringkat rundingan antara kerajaan persekutuan bersama syarikat pencadang.

“Antara syarat ditetapkan ialah perlu dilaksanakan mengikut tatacara pemprosesan permohonan secara rundingan bawah Seksyen 20A, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

“Pihak konsesi perlu melaksanakan penilaian impak alam sekitar dan kajian impak sosial termasuk mengadakan sesi bersama penduduk setempat yang terlibat dalam jajaran dicadangkan,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran mengenai status terkini projek PJD Link dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Izham berkata Kerajaan Negeri juga meminta Lembaga Lebuhraya Malaysia berbincang lanjut dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya bagi penyelarasan pembinaan projek berkenaan.

“Pindaan kepada Rancangan Tempatan Petaling Jaya perlu dilaksanakan dan proses pengambilan balik tanah hendaklah diselesaikan terlebih dahulu.

“Malah, penyelenggaraan sungai perlu diserahkan kepada pihak konsesi memandangkan 2.5 kilometer daripada jajaran lebuh raya ini berada atas rizab sungai dengan pembinaan maksimum sehingga sempadan rizab,” katanya.

Pada 28 Januari, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memberi jaminan untuk mengatasi semua kebimbangan yang sebelumnya ditimbulkan oleh penduduk yang membantah Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex).

Pelarasan awal yang dicadangkan untuk PJD Link dilaporkan merangkumi lebuh raya berkembar 34.3km, sementara rancangan asal untuk Kidex akan merangkumi 14.9km lebuh raya yang dinaikkan sepenuhnya.


Pengarang :