Orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar selepas menerima suntikan melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Dewan MRSM Sungai Besar, Sabak Bernam pada 31 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pelajar pandu sendirian 500km dari Alor Setar demi vaksin Selangor

SABAK BERNAM, 1 OGOS: Enggan terlepas janji temu vaksin, seorang pelajar jurusan komunikasi media sanggup memandu bersendirian dari Alor Setar, Kedah ke pusat vaksin di Sungai Panjang di sini.

Umi Najwa Abdul Samad, 20, teruja apabila mendapat janji temu suntikan bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti hanya selepas beberapa hari memohon melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Meskipun terpaksa menempuh jarak lebih 500km, penuntut Universiti Antarabangsa Albukhary itu nekad meneruskan perjalanan dengan bertolak lewat petang kelmarin.

“Saya bertolak dari Kedah semalam (kelmarin) sekitar jam 5 petang, agak lewat kerana masih ada kelas yang perlu dihadiri.

Umi Najwa Abdul Samad

“Alhamdulillah perjalanan saya dipermudah walaupun terpaksa menempuh beberapa sekatan jalan raya. Saya tiba di rumah pada lewat malam,” kata anak jati Selangor itu.

Umi Najwa antara ribuan peserta Selvax Komuniti DUN Sungai Panjang yang mendapat suntikan pelalian di Dewan Maktab Rendah Sains Mara, Sungai Besar semalam.

Beliau turut memuji proses pendaftaran melalui SELangkah yang cepat dan mudah selain tidak perlu menunggu lama.

“Saya daftar pada 28 Julai dan esoknya dapat tarikh janji temu. Tidak sangka proses sangat mudah daripada daftar sehingga tiba hari suntikan,” katanya yang mendapat maklumat Selvax dari ibunya.

Kerajaan Negeri menyediakan dua juta dos vaksin kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Inisiatif bernilai RM200 juta yang menyasar warga emas dan golongan berpendapatan rendah diiktiraf kerajaan persekutuan serta terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.


Pengarang :