Penerima suntikan vaksin Covid-19 kelihatan ceria selepas menerima suntikan tersebut semasa program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Sungai Kandis di Hotel De Palma Shah Alam pada 3 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pelajar teruja dapat vaksin Selangor, sedia ke sekolah

SHAH ALAM, 3 OGOS: Seorang pelajar teruja menerima suntikan pelalian di bawah program Vaksin Selangor (Selvax) sebagai persediaannya menyambung semula sesi persekolahan.

Pelajar tingkatan enam, Nur Irdina Batrisya Razali, 18, berkata gurunya ada menasihatkan mereka mendapat suntikan vaksin Covid-19 sebagai langkah keselamatan sebelum kembali ke sekolah.

Nur Irdina Batrisya Razali

Remaja dari Kampung Jawa, Klang itu berkata dia memohon melalui aplikasi MySejahtera dan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Rezeki saya apabila permohonan di SELangkah diterima, saya diberi janji temu hari ini di bawah Selvax DUN (Dewan Undangan Negeri) Sungai Kandis.

“Saya gembira kerana menerima vaksin sebagai perlindungan sebelum kembali ke sekolah,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hotel De Palma di sini, hari ini.

Ismiati Surasa

Bagi warga Indonesia, Ismiati Surasa, 42, dia gembira kerana warga asing tidak dipinggirkan dalam menerima vaksin di bawah Selvax Komuniti.

“Bekerja sebagai tukang cuci mendedahkan saya kepada jangkitan Covid-19, bila ada vaksin yakin sedikit untuk bekerja dan elak menjangkiti orang lain,” katanya yang berasal dari Surabaya.

Muhammad Izzat Zakwan

Sementara itu, Muhammad Izzat Zakwan, 22, berkata kekecewaannya tidak mendapat vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) terubat apabila terpilih dalam Selvax Komuniti DUN Sungai Kandis.

“Sepatutnya saya sudah mendapat vaksin di bawah PICK baru-baru ini kerana mendapat tarikh janji temu di MySejahtera, tetapi apabila sampai ke PPV diberitahu nama saya tiada dalam sistem.

“Lepas itu saya daftar di SELangkah, dua hari sahaja permohonan diterima,” katanya.


Pengarang :