Pegawai penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menjalankan pemantauan dan pencegahan pembakaran terbuka di kawasan revolusi hijau Johan Setia, Klang pada 7 Ogos 2021. Foto Facebook JAS
EXCOSELANGOR

Pelan tindakan diaktifkan atasi isu pembakaran terbuka di Johan Setia

SHAH ALAM, 13 OGOS: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) susulan isu berkaitan di kawasan Revolusi Hijau, Johan Setia di Klang bulan lalu.

EXCO alam sekitar berkata tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan kebakaran tanah gambut bagi pelaksanaan tindakan pencegahan, pemantauan, pemadaman dan penguatkuasaan turut diperkenalkan dalam menangani pembakaran terbuka.

Menerusi kenyataan, Hee Loy Sian berkata bagi mempertingkatkan tindakan agensi di kawasan itu semasa cuaca panas dan kering, Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar telah membuat ketetapan berikut:

– Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang melaksanakan program pemutihan melalui proses bancian yang dijalankan bagi membasmi aktiviti pembakaran terbuka, pelupusan sampah haram dan penerokaan haram di tanah-tanah rizab kerajaan. Petani-petani ini akan dibantu untuk mendapatkan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) daripada Kerajaan Negeri;

– Sebagai tambahan kepada rondaan agensi-agensi penguatkuasaan sedia ada, anggota Rela turut sama melaksanakan pemantauan harian di kawasan Johan Setia dan melaporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka kepada pihak berkuasa untuk tindakan penguatkuasaan lanjut;

– Jabatan Alam Sekitar (JAS) menggunakan teknologi dron thermal bagi mengesan pembakaran terbuka pada waktu malam;

– Kertas cadangan bagi pembinaan menara tinjau untuk mengesan pembakaran terbuka di Johan Setia akan disediakan oleh Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor;

– Jabatan Pertanian akan melaksanakan program pengurusan tanah lestari ke arah pembakaran sifar yang disasarkan kepada petani-petani yang berdaftar di bawah Jabatan Pertanian;

– Memperkasakan pasukan bomba sukarela yang diwujudkan di bawah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Johan Setia dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia; dan

– Polis diminta untuk membantu melaksanakan tangkapan dan rondaan di kawasan Johan Setia bagi menimbulkan ‘Perception of Being Caught’ di kalangan petani-petani supaya tidak melakukan pembakaran terbuka.

“Mesyuarat juga bersetuju supaya operasi bersepadu membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) di Johan Setia dilaksanakan secara berkala dan tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan perbuatan tersebut termasuk pemilik tanah.

“Di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan mahkamah dengan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

 


Pengarang :