Pengunjung berpeluang mendapatkan sayur-sayuran, buah-buahan dan pelbagai jenis ikan segar pada harga berpatutan di Pasar Agro PKPS Prihatin, Seksyen 7, Shah Alam pada 29 Ogos. Foto HAFIZ OTHMAN
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pelanggan Agro Prihatin Selangor boleh petik sendiri sayuran dibeli

SHAH ALAM, 30 OGOS: Program Agro Prihatin Selangor di tapak jualan Kebun Komuniti Seksyen 7 menawarkan peluang kepada pelanggan memetik sendiri sayuran.

Pengelola tapak Muhd Hafizee Ahmad Zawawi berkata pelanggan juga dibenarkan melawat persekitaran kebun dan melihat proses pertanian di situ.

Menurut beliau, langkah itu bukan sahaja dapat memberi pengalaman baharu kepada pelanggan, malah dapat menarik lebih ramai pengunjung.

“Antara yang boleh dipetik pucuk ubi, kangkung, serai, daun kunyit, cili api, daun kesum, peria, daun selasih dan pegaga.

Pengelola tapak jualan Program Agro Prihatin Selangor Kebun Komuniti Seksyen 7, Mohd Hafizee Ahmad Zawawi.

“Ini memberi kepuasan kepada mereka. Sepanjang PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) mereka tak boleh balik kampung jadi cara ini boleh mengubat kerinduan,” katanya ketika ditemui semalam.

Muhd Hafizee berkata tapak jualan itu dibuka setiap Sabtu dan Ahad sejak awal Ogos dan menawarkan harga jualan lebih murah berbanding pasaran.

Selain sayuran dari kebun terbabit, pusat berkenaan turut menjual ikan dan ayam segar, buah-buahan dan barangan kering.

“Anggaran pengunjung setiap minggu seramai 300 orang dan kita jangka jumlah ini akan terus meningkat pada masa akan datang,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang pelanggan, Hanizan Abdul Aziz berkata dia memborong pelbagai sayuran kampung di pusat jualan berkenaan.

“Semua sayuran pula segar dan harga pun murah. Ini kali kedua saya datang membeli barangan mentah di sini,” kata kakitangan swasta itu.


Pengarang :