Sukarelawan Bulan Sabit Merah membantu orang ramai yang hadir semasa program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Batang Kali di Dewan Dato’ Abdul Hamid, Hulu Selangor pada 8 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pelayan restoran pilih vaksin Selangor kerana mahu disuntik Sinovac

HULU SELANGOR, 8 OGOS: Seorang pelayan restoran memilih program Vaksin Selangor (Selvax) kerana mahu mendapat suntikan jenis Sinovac.

Tan Sock Hian, 31, berkata beliau memilih vaksin jenis itu kerana mendakwa kesan selepas suntikan tidak seteruk jenis lain.

Tan Sock Hian

“Saya memang mahu Sinovac kerana kawan-kawan yang telah vaksin cakap ia lagi bagus kerana yang dapat vaksin jenis lain ada yang demam, sakit kepala.

“Jadi bila saya nampak hebahan tulis ada Sinovac terus saya daftar,” katanya ketika ditemui di Selvax Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali Dewan Dato Abdul Hamid hari ini.

Buruh warga Indonesia, Siti Maimunah Ansuri, 20, pula berkata beliau mahu pulang ke negara asal dan mengharapkan lebih ramai yang menerima vaksin di Malaysia bagi mempercepat imuniti kelompok.

Siti Maimunah Ansuri

“Dua tahun lalu saya datang dan kemudian Covid-19 melanda seluruh dunia terus saya tidak dapat balik ke Jawa Timur.

“Vaksin ini adalah salah satu ubat, keluarga saya di Indonesia juga divaksin jadi kita kena berusaha untuk bagi semuanya pulih seperti sedia kala,” katanya.

K Ramana

Manakala orang kelainan upaya (OKU) fizikal, K Ramana, 45, berkata beliau menerima vaksin kerana mahu memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk bermula dari keluarganya.

“Empat orang anak dan isteri saya telah pun terima vaksin cuma saya sahaja yang belum menerimanya sebelum ini.

“Saya gembira walaupun lambat masih dapat bukan tidak pernah daftar tetapi sehingga kini masih belum dipanggil,” katanya.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.


Pengarang :