Aksi pemain badminton beregu wanita negara Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean (kanan) pada perlawanan peringkat kumpulan A pada Kejohanan Olimpik Tokyo 2020 di Mushashino Sports Plaza pada 27 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Pemain beregu wanita bersara daripada badminton

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Pemain beregu badminton wanita negara, Chow Mei Kuan mengambil keputusan untuk bersara daripada sukan itu.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan semalam berkata mereka cuba memujuk pemain berusia 26 tahun untuk kekal beraksi tetapi tidak berjaya.

Bagaimanapun, BAM telah menerima peletakan jawatan itu yang berkuat kuasa pada 15 Sept.

“Setiap orang di BAM menzahirkan penghargaan kepada Mei Kuan terhadap sumbangan besarnya kepada pasukan kebangsaan dan mendoakan yang terbaik dalam usahanya di masa hadapannya,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Mei Kuan yang menjadi gandingan Lee Meng Yean mengharungi perjalanan sukar dalam penyertaan sulung mereka di Olimpik Tokyo, baru-baru ini.

Beregu itu tersingkir dalam peringkat kumpulan dan mencatatkan satu kemenangan daripada tiga perlawanan Kumpulan A.

Kemenangan tunggal mereka hadir pada perlawanan akhir selepas menewaskan beregu Great Britain Chloe Birch-Lauren Smith of Great Britain, 21-19, 21-16 dalam perlawanan di Musashino Forest Sport Plaza.

Selain Meng Yean, Mei Kuan berpasangan dengan beberapa pemain sebelum ini seperti, Vivian Hoo, Lai Pei Jing, dan Shevon Jemie Lai.

Kejayaan terbesar anak kelahiran Kuala Lumpur itu dalam kerjayanya apabila meraih pingat emas dalam acara beregu wanita semasa berpasangan dengan Vivian di Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

Mei Kuan-Vivian menewaskan Lauren Smith-Sarah Walker dari England 21-12, 21-12 pada final.

Mei Kuan yang mula bermain badminton seawal tujuh tahun merekodkan 211 kemenangan dalam kerjayanya sejak menyertai skuad kebangsaan pada 2012.

-BERNAMA


Pengarang :