ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar menyampaikan barangan keperluan asas makanan kepada pemandu van sekolah semasa program serahan bakul makanan di Pusat Khidmat Rakyat DUN Seri Setia, Petaling Jaya pada 6 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Pemandu van sekolah hilang mata pencarian kesan pandemik

PETALING JAYA, 7 OGOS: Pandemik Covid-19 yang berlarutan menyebabkan seorang pemandu van sekolah bergelut dengan masalah kewangan selepas hampir dua tahun hilang mata pencarian.

Norrisah Shaari, 58, berkata pekerjaan yang dilakukan sejak 24 tahun lalu terpaksa dihentikan sementara berikutan penutupan sekolah selain bimbang situasi semasa wabak.

Biarpun masih boleh bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja sebagai pemandu teksi selain puteri sulung yang menjual makanan snek Jepun (takoyaki), namun ibu lima anak itu mengakui ia sekadar cukup makan.

“Jika dulu saya boleh raih pendapatan mencecah RM5,000 sebulan tetapi sekarang langsung tiada. Malah, dua van yang dimiliki hanya tersadai di rumah.

Norrisah Shaari, 58, pemandu van sekolah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Memang pada suatu ketika kerajaan buka sesi persekolahan namun saya tidak berani ambil risiko apatah lagi melibatkan kanak-kanak kerana kes Covid-19 masih tinggi serta membimbangkan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau antara 100 pemandu van sekolah, teksi dan penghantar makanan yang menerima bantuan keperluan asas sumbangan Ahli Dewan Negeri Seri Setia Halimey Abu Bakar di sini semalam.

Menurut Norrisah, dia juga belum bersedia untuk kembali melakukan pekerjaan tersebut walaupun sesi persekolahan secara bersemuka akan dibuka tidak lama lagi.

“Mungkin tidak (teruskan) dalam masa terdekat, saya tunggu keadaan betul-betul pulih kerana keselamatan itu lebih penting buat saya,” katanya.

Beliau yang menetap di Kampung Lindungan di sini turut menghargai sumbangan dan keprihatinan wakil rakyat terhadap golongan terjejas pendapatan.

“Seorang kenalan mencadangkan nama saya sebagai penerima bantuan, jadi saya bersyukur dan berterima kasih kepada beliau (Halimey) kerana mengambil berat kesusahan dihadapi penduduk,” katanya.

 


Pengarang :