Jelas terpancar keceriaan pada wajah ahli pemuzik jalanan Sang Hitam Band selepas membuat persembahan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Serbaguna MPAJ AU5, Ampang pada 22 Ogos 2021. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Pemuzik jalanan teruja dapat buat persembahan di PPV

AMPANG, 22 OGOS: Pemuzik jalanan Sang Hitam Band teruja kerana diberi peluang menghiburkan peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti hari ini selepas tiga bulan tidak membuat penampilan di hadapan khalayak.

Vokalisnya Mohd Ezuwan Mazlan, 32, berkata kemunculan sulung di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Serbaguna MPAJ AU5 di sini membolehkan kumpulannya menjana pendapatan ketika pandemik Covid-19.

“Apabila Kerajaan Negeri melalui Selvax panggil untuk busking, kami lega dan bersyukur. Setidak-tidaknya beri peluang bernafas memandangkan ketika ini tengah terdesak akibat Covid-19.

“Peluang ini harus dimanfaatkan sebaiknya dengan menghiburkan peserta yang menunggu giliran untuk divaksin. Pada masa sama, kumpul dana daripada orang ramai di PPV,” katanya kepada Selangorkini.

Kumpulan terbabit mempersembahkan 20 lagu pelbagai genre sepanjang dua sesi mulai 9 pagi hingga 3 petang.

Sementara itu, Mohd Ezuwan berharap kerajaan mempertimbang kelonggaran kepada penggiat industri berkenaan untuk menjalankan rutin yang menjadi sumber rezeki.

“Kami meletakkan harapan tinggi untuk buat persembahan semula, jadi sekiranya sektor ini dibuka kami dapat kembali bekerja seperti biasa misalnya di kafe dan kedai makan,” katanya menambah akan muncul di PPV Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) esok.

Ditubuhkan enam tahun lalu, Sang Hitam Band turut dianggotai Abrar sebagai pemain gitar, Haris (pemain keyboard), Azizul (bass) dan Azim (drum).

Sepanjang tempoh berkenaan, bazar larut malam Kota Damansara menjadi lokasi kumpulan itu untuk mencari pendapatan.

Pada 7 Ogos, EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah berkata Kerajaan Negeri membela nasib busker dengan menempatkan mereka di PPV terpilih termasuk empat PPV mega bawah persekutuan.

Setakat ini, seramai 720 pemuzik jalanan dibantu melalui Projek Kita Buskers dengan peserta menerima sejumlah wang sagu hati selain kutipan awam bagi meneruskan kehidupan.


Pengarang :