Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Batang Kali di Dewan Dato’ Abdul Hamid, Hulu Selangor pada 8 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Penduduk Batang Kali hadir seawal 7 pagi untuk Vaksin Selangor

HULU SELANGOR, 8 OGOS: Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali menerima sambutan menggalakkan penduduk hari ini susulan pemberian
suntikan kepada 1,447 individu semalam.

Penyelaras DUN, Saifuddin Shafi Muhammad berkata orang ramai mula hadir ke Dewan Dato Abdul Hamid di sini seawal jam 7 pagi tadi bagi mendapatkan suntikan pelalian.

“Hari ini kita menjangkakan 1,500 individu lagi akan divaksin dan kita harapkan dapat meningkatkan lagi peratus imuniti kelompok di Hulu Selangor, difahamkan setakat ini ia sudah mencecah 60 peratus,” katanya ketika ditemui SelangorKini hari ini.

Penyelaras DUN Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad bercakap kepada SelangorKini ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Batang Kali di Dewan Dato’ Abdul Hamid, Hulu Selangor pada 8 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata walaupun di Hulu Selangor mempunyai dua Pusat Pemberian Vaskin (PPV) berskala besar iaitu di Serendah dan Bukit Beruntung namun program Selvax masih mendapat sambutan luar jangkaan.

“Kita hantar lebih 2,000 nama kepada Selcare sebelum ini dan dalam tempoh itu ada antara mereka yang datang terus ke PPV lain tetapi jumlah yang hadir ke program Selvax masih ramai,” katanya.

Saifuddin berkata lebih separuh peserta menggunakan pendekatan daftar terus dan menyebabkan pihaknya menggunakan 110 petugas untuk memastikan kelancaran program.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.


Pengarang :