ADN Kota Kemuning V Ganabatirau menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penduduk terjejas di kawasannya pada 4 Julai 2021. Foto Facebook Ganabatirau Veraman
ADNSELANGOR

Penduduk kediaman mewah di Kota Kemuning antara penerima bakul makanan

SHAH ALAM, 14 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning mengagihkan 6,400 bakul makanan kepada masyarakat terkesan akibat pandemik Covid-19 sejak Jun lalu.

V Ganabatirau berkata agihan bakul makanan kepada masyarakat sekitar Kota Kemuning tidak hanya memfokuskan golongan berpendapatan rendah tetapi turut melibatkan mereka yang tinggal di kediaman mewah.

“Walaupun banyak penduduk di DUN Kota Kemuning tinggal di rumah mewah tetapi ada sebahagian daripada mereka berdepan dengan kesusahan kerana syarikat ditutup.

“Selain bakul makanan, kita juga memberi sumbangan peralatan kesihatan, baucar Pasaraya Speedmart bernilai RM80 dan wang tunai untuk pengurusan jenazah Covid-19,” katanya kepada SelangorKini.

Ganabatirau yang juga EXCO kebajikan masyarakat berkata pihaknya juga terus memperkasakan program “Sponsor A Family” iaitu keluarga berkemampuan membantu keluarga terkesan.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan setiap DUN kerajaan dan pembangkang menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Turut menerima peruntukan tambahan dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat ahli parlimen Pakatan Harapan (PAKATAN) berjumlah RM30,000

 


Pengarang :