Orang ramai bergambar selepas selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 semasa program Vaksin Selangor (Selvax) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 21 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Penerima vaksin Selangor lega lengkap disuntik, elak terdedah jangkitan

PETALING JAYA, 21 OGOS: Penerima suntikan pelalian program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti menyuarakan kelegaan selepas lengkap disuntik dua dos.

Pereka grafik Fatin Zahidah Hamizan, 26, berkata walaupun agak lambat berbanding keluarganya tetapi bersyukur sudah menjalankan tanggungjawab mengambil vaksin dalam usaha mencegah dijangkiti Covid-19.

Fatin Zahidah Hamizan. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Biarpun agak lewat tetapi gembira melengkapkannya ketika kes masih lagi tinggi. Kini saya lebih yakin untuk keluar bekerja,” katanya ketika ditemui di pusat pemberian vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall di sini hari ini.

Pekerja swasta Trevor Wang, 30, berkata beliau tidak sabar untuk menerima dos kedua suntikan vaksin kerana risau peningkatan kes Covid-19.

“Saya berasa lega dan berharap masyarakat semua berdaftar untuk mendapatkan vaksin supaya dilindungi,” katanya.

Mohamad Sujon Ali. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengawal keselamatan Mohamad Sujon Ali, 23, berkata beliau sepatutnya menerima vaksin kedua pada 13 Julai lalu namun terpaksa ditangguh berikutan salah seorang rakannya positif Covid-19.

“Saya turut menjalani kuarantin dan bersyukur kerana keputusan saringan dilakukan sebanyak dua kali negatif.

“Pekerjaan saya berisiko tinggi dijangkiti kerana terdedah dengan orang ramai dan sebab itu tidak sabar untuk ambil suntikan kedua,” katanya.


Pengarang :