Petugas kesihatan memakai kelengkapan alat perlindungan diri (PPE) ketika memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 di Unit Rawaan Rapi Hybrid Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang pada 11 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pengarah kesihatan sebak, petugas hadapan ‘takkan mengalah’ perangi wabak (VIDEO)

SHAH ALAM, 7 OGOS: Semangat kira-kira 30,000 petugas kesihatan di negeri ini dalam memerangi wabak Covid-19 jelas terpancar dalam video terbitan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Di sebalik paras kes harian peringkat kebangsaan mahupun negeri masih tinggi, rakaman tiga minit 49 saat yang dimuatkan ke Youtube sejak semalam memperlihat tekad mereka untuk membendungnya.

Sebahagian memakai sut perlindungan diri (PPE), kumpulan petugas tersebut secara berasingan dilihat mengacung tangan sambil tegas melaungkan ungkapan “kita takkan mengalah”.

Mereka antaranya kakitangan hospital, pusat kesihatan daerah, klinik kesihatan, skuad vaksin bergerak, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan unit kawalan penyakit di serata negeri ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dato’ Dr Shaari Ngadiman pula kelihatan sebak ketika mengajak seluruh rakyat bersama-sama bergandingan dalam membendung virus tersebut.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut merakam ucapan tahniah dan terima kasih atas atas ketahanan, ketabahan dan kecekalan yang ditampilkan mereka sepanjang pandemik.

“Sejarah akan melihat jasa barisan hadapan sebagai wira sebenar negara kita dalam memerangi wabak Covid-19. Terima kasih dan salut kepada anda,” katanya.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud pula menyifatkan petugas barisan hadapan telah melakukan yang terbaik sekalipun berdepan pelbagai bentuk kesukaran.

“Segala usaha, keringat, air mata dan pengorbanan anda dalam perjuangan ini akan dikenang dalam lipatan sejarah negara,” katanya lagi.


Pengarang :