Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Program Penyerahan Bantuan Makanan Kepada Mahasiswa di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada 8 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Penggiat seni perlu hasil karya menarik ikut peredaran semasa

SHAH ALAM, 11 OGOS: Penggiat seni perlu terus menghasilkan lebih banyak karya menarik mengikut peredaran semasa bagi menyampaikan mesej kepada masyarakat.

Dato’ Menteri Besar berkata ini kerana seni merupakan sebahagian norma kehidupan yang harus diterjemah dalam pelbagai sudut menarik supaya orang awam terhibur dengan jenaka dan melankolik yang hidup melalui sastera, budaya, muzik, gambar serta lukisan.

“Ketika Covid-19 contohnya, kita memerlukan orang merakam (karya) yang bukan hanya melihat satu sudut. Mungkin (Covid-19) orang hanya akan melihat PPE (pakaian perlindungan diri), hospital dan individu meninggal.

“…tetapi sebenarnya meletakkan bagaimana pelajar berusaha mendapatkan internet dan penduduk di kawasan bandar terpaksa hidup terkongkong yang kebiasaannya bebas. Jadi, ia (karya) perlu diletakkan dalam pelbagai komuniti serta masyarakat supaya kita boleh maju ke depan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian pada program ‘Bedah Buku Muhammad’ yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasminya malam tadi.

Program sejam turut menampilkan karyawan dan penyanyi hip hop tersohor tanah air Altimet selain dua penterjemah buku tersebut, Al-Mustaqeem M Radhi dan Farhan Affandi.

Amirudin berkata artis dan seniman tanah air yang menceburi dunia politik juga diminta terus menghasilkan karya sebagai elemen perubahan.

“Kalau orang seni masuk politik akhirnya mereka akan menjadi penceramah politik berbanding menulis muzik, filem serta karya besar untuk menolak dan mengangkat idea.

“Sebab itu saya minta mereka mengekalkan bentuk karya sebagai elemen perubahan,” kata Amirudin.


Pengarang :