S Ganeson menyembur cecair pembunuh kuman kepada penerima suntikan sebelum menaiki bas ke program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Sungai Kandis di Hotel De Palma Shah Alam pada 3 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pengusaha bas tawar khidmat hantar orang ramai ke Selvax DUN Sungai Kandis

SHAH ALAM, 3 OGOS: Seorang pengusaha menawarkan bas milik syarikatnya bagi membawa orang ramai menerima pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis hari ini.

S Ganeson, 57, berkata bantuan itu sebagai tanggungjawab sosial korporat syarikatnya yang mempunyai tiga bas namun tidak dapat beroperasi kini susulan penutupan sekolah serta institut pengajian tinggi swasta ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Daripada bas itu tersadai sahaja, baik saya gunakan satu daripadanya untuk membawa penerima vaksin pada hari ini.

“Difahamkan ramai menghadapi masalah tiada pengangkutan terutama golongan kurang berkemampuan, jadi saya bantu mengikut kemampuan ada bagi meringankan beban mereka,” katanya ketika ditemui.

Ganeson menjelaskan dalam memberikan khidmat itu beliau tidak lupa mengamalkan tatacara operasi piawai antaranya melaksanakan penjarakan fizikal selain menyediakan cecair pembasmi kuman.

“Sebab itu kami buat beberapa perjalanan walaupun bas ini mempunyai kapasiti 44 orang, kena jaga SOP untuk keselamatan semua,” katanya.

Seramai 29 penghuni Rumah Pertubuhan Kebajikan Darul Wardah antara penerima manfaat daripada perkhidmatan disediakan Ganeson.

Mereka dibawa dari premis di Jalan Kebun ke pusat pemberian vaksin (PPV) Selvax Komuniti DUN Sungai Kandis di Hotel De Palma di sini.


Pengarang :