Pekerja kedai gunting rambut menyembur cecair pembasmi kuman di kerusi selepas digunakan ketika tinjauan pada hari pertama beroperasi di Bandar Damai Perdana, Balakong, Kajang. Kedai gunting rambut antara 11 jenis aktiviti ekonomi yang dibenarkan beroperasi dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negera (PPN) berkuatkuasa pada 16 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Pengusaha kedai gunting rambut hanya terima pelanggan lengkap vaksin

SHAH ALAM, 17 OGOS: Pengusaha premis gunting rambut hanya menerima pelanggan yang lengkap vaksin bagi mengekang penularan Covid-19.

Pengurus Ruby Hair Dressing Saloon berkata langkah itu sebagai usaha melindung nyawa masyarakat, mengelakkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

“Bila PKP semula premis akan ditutup kembali. Saya tak mahu perkara sama berulang kerana beri kesan pada perniagaan.

“Jadi sebagai langkah bantu kerajaan, premis kami hanya terima individu lengkap vaksin. Pekerja akan minta pelanggan tunjukkan dulu aplikasi MySejahtera,” katanya kepada SelangorKini.

Timbalan presiden persatuan gaya rambut India Malaysia itu berkata memahami kesusahan rakyat, harga gunting rambut di tiga premisnya tidak dinaikan meskipun perlu menyediakan beberapa alat pelindung diri.

“Kena ada sarung tangan, apron dan tambah perkakas menggunting tapi harga tetap sama. Saya daham kesusahan rakyat jadi harga kekal sama macam dulu.

“Dari segi SOP (tatacara operasi piawaian) dalam satu-satu masa hanya lima pelanggan sahaja dibenarkan dalam kedai,” katanya.

Bermula semalam kerajaan membenarkan premis gunting rambut, cuci kereta, elektrik dan elektronik, barangan rumah dan peralatan dapur, perabot, peralatan sukan, dan aksesori kereta dibuka.

Kebenaran turut diberi kepada pasar pagi dan pasar tani; kedai pakaian, fesyen serta aksesori, barang kemas dan pusat pengedaran serta jualan kereta.


Pengarang :