Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin kepada seorang warga emas ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Jeram di Dewan MDKS, Bandar Baru, Kuala Selangor pada 3 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Peniaga bawa ibu, ibu tiri terima vaksin negeri walau fobia jarum

KUALA SELANGOR, 4 OGOS: Seorang peniaga nekad membawa ibu dan ibu tirinya mengambil suntikan vaksin sebagai perlindungan diri meskipun kedua-duanya fobia jarum.

Lim Kah Boon, 49, turut mendapatkan pandangan pakar berikutan ibunya Ang Siyok, 88, baharu selesai menjalani pembedahan usus bulan lalu.

Lim Kah Boon. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kebetulan ada program vaksin Selangor (Selvax) berhampiran rumah, jadi berbekalkan nasihat doktor, walaupun kedua-duanya memang fobia jarum tetapi saya tetap bawa kerana ancaman wabak semakin bahaya ketika ini,” katanya ditemui di Dewan MDKS, Bandar Baru Kuala Selangor di sini semalam.

Sementara itu, seorang pegawai jualan menghargai komitmen Kerajaan Negeri yang tidak menyisihkan warga asing bagi mendapat suntikan vaksin.

Lee Hock Lai, 32, yang membawa kakak iparnya yang berasal dari Vietnam turut memuji petugas pusat vaksin berkenaan dengan membantu urusan pendaftaran.

“Saya dimaklumkan sukarelawan di sini dia (kakak ipar) layak divaksin dan segera bantu memuat turun aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) serta mengisi maklumat peribadi.

“Proses berjalan lancar dan cepat. Saya menghargai usaha Kerajaan Selangor yang menjalankan program secara percuma tanpa menyisihkan warga asing,” katanya.

Muhammad Al-Barrak Mohd Zubir. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Seorang lagi peserta, Muhammad Al-Barrak Mohd Zubir, 18, berkata kecederaan kaki kanan akibat kemalangan jalan raya minggu lalu tidak melunturkan semangatnya untuk divaksin.

“Saya tetap mahu disuntik untuk perlindungan diri sebab bimbang sekarang Covid-19 ada di mana-mana tambahan ramai kawan yang sudah dapat sekurang-kurangnya satu dos,” katanya memuji proses pemberian vaksin mengambil masa kurang 15 minit.


Pengarang :