Dr Siti Mariah Mahmud menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex pada 24 Ogos 2021. Foto NAZIR KHAIRI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penubuhan Pasukan Pencegahan Covid-19 pelengkap usaha tangani wabak

SHAH ALAM, 24 OGOS: Penubuhan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) melengkapkan usaha kerajaan persekutuan dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menangani pandemik di negeri ini, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata inisiatif dibangunkan STFC seperti aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), sistem tahap amaran menerusi kod warga kepada beberapa sektor serta saringan bersasar di 56 DUN mampu mengesan kontak Covid-19.

“STFC turut memperkenalkan Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) bagi membendung wabak di sektor perindustrian dan tempat kerja serta menubuhkan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) sebagai pasukan penyokong kesihatan.

“Menerusi STFC juga, Kerajan Negeri berjaya melaksanakan Program Vaksin Selangor (Selvax) bagi mencapai imuniti kelompok terutama kepada petugas hadapan sektor ekonomi,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Sabak Ahmad Mustain Othman dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Kerajaan Selangor menubuhkan STFC pada 12 Mac tahun lalu sebagai badan pemikir selepas negeri ini sentiasa mencatatkan kadar jangkitan harian yang tinggi sejak penularan Covid-19.

Badan itu dipengerusikan  mantan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta ahlinya terdiri dari pakar kesihatan antaranya bekas pengarah JKNS, Datuk Dr Khalid Ibrahim  dan pakar penyakit berjangkit negara Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.


Pengarang :