Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap dalam sidang media ketika program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 21 Ogos 2021. Foto RADIN WAZIR
AGENDANASIONAL

Penunggang e-panggilan digesa berwaspada, pastikan tempahan pelanggan selamat

GOMBAK, 21 OGOS: Penunggang e-panggilan diminta berhati-hati ketika bertugas bagi mengelak kejadian tidak diingini terutama di jalan raya, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata aspek keselamatan perlu dititik berat mereka kerana menjadi harapan pelanggan untuk menerima barangan dan makanan ditempah dalam keadaan baik.

“Saya berharap penunggang e-panggilan dapat memandu secara berhemah dan elak sebarang bencana sebab mereka yang menjadi penyambung kepada kitaran ekonomi kita sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bantuan kewangan berjumlah RM500 kepada 50 peserta program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di Dewan Rakyat Batu Caves di sini hari ini.

Turut hadir, EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Mohamad Nizam Marjugi.

Sementara itu, Amirudin berkata majoriti peserta program terbabit telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin sekali gus dapat menjalankan tugas dengan selamat sepanjang pandemik Covid-19.

“Saya gembira apabila mereka sudah divaksin, paling tidak satu dos. Ia membuktikan golongan ini sangat peka dengan kesihatan dan keselamatan masing-masing,” katanya.


Pengarang :