Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melekatkan Jalur Gemilang pada motosikal peserta program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 21 Ogos 2021. Foto RADIN WAZIR
EXCOSELANGOR

Pergiat promosi RiDE, turun ke daerah catat permohonan rendah

GOMBAK, 21 OGOS: Promosi program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) dipergiat di beberapa daerah bagi menarik penyertaan lebih ramai belia, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman menjelaskan sasaran daerah termasuk Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Sepang dan Kuala Langat yang mencatat penyertaan rendah.

“Kita dapati permohonan RiDE dari daerah terbabit masih kurang, jadi apa yang kita akan buat adalah turun ke kawasan berkenaan dan dekati belia secara khusus dengan memberi penerangan program ini.

“Penambahbaikan perlu dibuat kerana kita mahu menggalakkan mereka terlibat dalam program ekonomi sampingan bagi menjana pendapatan di saat krisis Covid-19 melanda,” katanya selepas majlis penyerahan inisiatif kepada 50 peserta RiDE di Dewan Rakyat Batu Caves di sini hari ini.

Berdasarkan rekod yang dikongsikan, seramai 3,237 penunggang e-panggilan di Selangor menerima manfaat RM500 setakat ini melalui permohonan diterima tahun lalu.

Petaling merekodkan jumlah penerima tertinggi dengan 26 peratus, Hulu Langat (19 peratus), Gombak (17 peratus) dan Klang (14 peratus).

Kuala Langat pula mencatat tujuh peratus manakala Sepang, Hulu Selangor dan Kuala Selangor masing-masing lima peratus serta Sabak Bernam (dua peratus).

RiDE menawarkan subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, kursus e-panggilan bernilai RM150 dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial RM70 setahun.

Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk RM2 juta untuk program tersebut dengan sasaran 3,000 peserta.
Permohonan dibuka dari Januari hingga akhir tahun ini melalui laman sesawang http://msnselangor.gov.my.

 


Pengarang :