Penggali kubur dan pasukan Persatuan Amal Valley menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang pada 23 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANA

Perjalanan sepi jenazah pesakit Covid-19

Berbeza urusan kematian biasa, jenazah pesakit Covid-19 dikendali dengan protokol keselamatan yang ketat sehingga beberapa ahli keluarga sahaja hadir, hanya mampu memandang dari jauh.

Dengan petugas memakai sut perlidungan diri (PPE), jenazah yang berbalut dua lapis plastik ditayamum tanpa menyentuh jasad seperti lazim. Ahli keluarga pula dibenar mengiring van jenazah dari kenderaan berasingan dalam perjalanan ke tanah perkuburan.

Susulan peningkatan kematian di Selangor baru-baru ini, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan urusan jenazah secara berpusat bagi mengurangkan kesesakan di bilik mayat hospital.

Wartawan MUSTAKIM RAMLI bersama jurufoto REMY ARIFIN merakam proses pengurusan jenazah dari Hospital Ampang ke tanah perkuburan Ukay Perdana, Ampang Jaya pada 23 Julai. Jenazah diurus oleh Pertubuhan Lembah Amal (Amal Valley) yang diberikan amanah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

 

Sukarelawan membuat semburan nyahkuman di troli mandi sebelum dan selepas jasad ditayamum. Proses itu dibuat atas permukaan beg mayat dua lapis sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan

 

Sut keselamatan dipakai sebelum sukarelawan menguruskan jenazah di hospital. Mereka memakai tiga lapis sarung tangan bagi memastikan tidak terdedah kepada virus jika ada lapisan terkoyak

 

Hanya pemandu dan seorang sukarelawan dibenar berada di dalam van jenazah. Mereka dilarang keluar dari kenderaan hingga tiba ke tanah perkuburan. Keluarga waris hanya boleh mengiringi van menggunakan kenderaan lain

 

Sebaik sahaja dibawa keluar dari van, beg jenazah disembur cecair nyahkuman sekali lagi. Jenazah hanya boleh dikeluarkan dengan kebenaran pegawai pejabat kesihatan daerah

 

Jengkaut digunakan bagi menggali liang lahad tetapi di sesetengah kawasan hanya menggunakan perkhidmatan penggali kubur yang memakai sut perlindungan diri (PPE)

 

Liang lahad dinyahkuman sebelum dan selepas jenazah disemadikan. Proses itu agak mencabar kerana pergerakan sukarelawan yang memakai PPE sedikit terbatas

 

Dari jauh, dua waris merakam sukarelawan yang sedang melakukan nyahkuman di permukaan tanah kubur

 

Selepas pengebumian, PPE sukarelawan yang terlibat dinyahkuman sebelum mereka dibenar menanggalkannya

 

Sut PPE perlu ditanggalkan dengan tertib bagi mengelak bersentuhan kulit. Sut itu kemudian dinyahkuman sekali lagi sebelum dimasukkan ke dalam beg khas pelupusan sisa

 


Pengarang :