Seorang pelanggan membungkus makanan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika tinjauan di sebuah restoran di Seksyen 7 Shah Alam pada 13 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Persatuan restoran tidak wajibkan ahli buka premis, benar pelanggan makan

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) tidak mewajibkan ahlinya membuka premis masing-masing bagi tujuan pelanggan makan di premis (dine-in), sebaliknya bergantung kepada kesediaan pengusaha sendiri untuk berbuat demikian.

Presidennya Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata apa yang penting bagi ahli persatuan, ialah mereka perlu memastikan hanya petugas lengkap divaksin dibenarkan untuk bekerja.

“Pengumuman ini sesuatu yang melegakan buat pengusaha restoran khususnya di kawasan Fasa Satu PPN (Pelan Pemulihan Negara) dan kita sarankan kepada ahli agar menyediakan petugas khusus untuk menyemak sijil digital vaksinasi Covid-19 di aplikasi MySejahtera pelanggan,” katanya.

Beliau berkata bagi mencegah sebarang risiko penularan Covid-19, pemilik premis disarankan kerap mensanitasi meja makan dan kerusi sebelum serta selepas digunakan pelanggan.

Katanya pengusaha restoran dan permis makanan serta pelanggan juga dinasihatkan agar mematuhi semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti dine-in bagi individu lengkap divaksin.

Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan kebenaran aktiviti dine-in mulai hari ini (Jumaat) bagi premis makanan di kawasan berstatus Fasa Satu PPN, namun terhad bagi pelanggan yang lengkap divaksin.

Antara kelonggaran lain bagi individu lengkap divaksin di kawasan Fasa Satu PPN ialah aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta operasi pasar malam dan pasar minggu.

Sementara itu Jawahar Ali berkata ahli persatuan turut disaran mempamerkan poster atau gegantung makluman mengenai semua petugas premis telah divaksin bagi meningkatkan keyakinan pelanggan masing-masing.

“Kita juga berharap pelanggan berdisplin dan mematuhi semua SOP yang ditetapkan ketika makan di premis terutama jika membawa keluarga dengan anak-anak berusia 17 tahun ke bawah,” katanya.

— BERNAMA

 

 

 


Pengarang :