Halimey Abu Bakar ketika ditemu bual Selangorkini di Mentari Court PJS 8 Petaling Jaya pada 5 Julai 2021. Foto RENY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pertimbang kurangkan kadar sewa gerai bantu peniaga kecil terjejas

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kerajaan Negeri disaran mempertimbang semula kadar sewa gerai milik pihak berkuasa tempatan untuk membantu peniaga kecil yang terjejas akibat Covid-19.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia Halimey Abu Bakar berkata pendapatan golongan itu kebanyakan merosot susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak awal tahun ini.

“Kerajaan Negeri perlu mengambil perhatian peniaga yang menyewa di gerai-gerai majlis dengan mempertimbang kadar bayaran sewa memandangkan perniagaan mereka terjejas akibat pandemik.

“Kerajaan Negeri juga diharap dapat mempertimbang untuk menambah lagi peruntukan dalam Pakej Kita Selangor kepada rakyat terutama golongan peniaga,” katanya.

Beliau berucap ketika membahaskan titah ucapan Duli Yang Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam perbahasannya, Halimey turut menyokong langkah Selangor meminjamkan stok vaksin kepada negeri lain namun berharap ia tidak menjejaskan proses suntikan penduduk negeri ini.

“Inisiatif kerajaan Negeri membeli vaksin menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) terbukti berkesan dalam membantu memberi suntikan kepada rakyat.

“Namun saya berharap bekalan vaksin di Selangor dapat dipastikan sentiasa mencukupi walaupun terpanggil membantu kerajaan persekutuan,” katanya.

Kerajaan Negeri meminjamkan 500,000 dos bekalan vaksin yang dibeli kepada Pasukan Petugas
Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi membantu beberapa negeri yang memerlukan bekalan tersebut ketika ini.


Pengarang :