Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Mukim Parit Pasir Tumboh, Wan Azizi Wan Ab Ghani (kanan) bersama salah seorang penduduk, Tuan Mohd Nor Tuan Yahya memasang Jalur Gemilang pada tiang elektrik di Lorong Taman Paduka, Kampung Parit pada 23 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pertubuhan kebajikan kampung berhabis RM700 pasang 100 Jalur Gemilang

KOTA BHARU, 23 OGOS: Bagi menyemarakkan semangat sambutan Hari Kebangsaan 2021 yang bakal disambut hujung bulan ini, Pertubuhan Kebajikan Mukim Parit Pasir Tumboh, di sini mengambil inisiatif memasang 100 Jalur Gemilang di lima lokaliti sekitar mukim tersebut.

Pengerusi pertubuhan itu Wan Azizi Wan Ab Ghani berkata mereka memasang Jalur Gemilang pada tiang elektrik sepanjang 50 meter di lorong-lorong terpilih.

“Antara lima kawasan laluan utama taman melibatkan lorong-lorong iaitu Taman Paduka, Desa Wangi, Kubang Siput, Taman Putera dan Kampung Likong.

“Ini merupakan usaha kali pertama pertubuhan memasang Jalur Gemilang di lima lokaliti sekitar Mukim Parit bagi menaikkan semangat patriotik dalam kalangan lebih 350 ahli,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lorong Taman Paduka, Pasir Tumboh hari ini.

Menurutnya sebanyak RM700 dana pertubuhan diperuntukkan untuk membeli Jalur Gemilang dan kain rentang serta upah pasang di setiap lorong berkenaan.

Wan Azizi berkata pertubuhan yang diwujudkan sejak 2016 itu juga mengagihkan bantuan kepada ahli dan keluarga ahli yang terjejas akibat Covid-19 serta menghantar bekalan makanan kepada pesakit yang dikuarantin di rumah di kawasan Pasir Tumboh.

Sementara itu penduduk, Tuan Mohd Nor Tuan Yahya, 56, berkata Jalur Gemilang yang dipasang di setiap lorong taman kawasan perumahan, menjadikan orang ramai teruja untuk meraikan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September ini dengan tema “Malaysia Prihatin”.

“Sebanyak 20 Jalur Gemilang dipasang di lorong tempat saya tinggal iaitu Taman Paduka yang menaikkan semangat kami untuk menyambut Hari Kebangsaan.

“Secara individu, saya sudah memasang Jalur Gemilang di dua kereta dan selepas ini akan memacak Jalur Gemilang di luar rumah dengan kuantiti yang banyak bagi menyemarakkan semangat cintakan negara,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :